Anda di sini

MPS tidak tunduk kepada pengusaha makanan tanpa lesen

Advertisement

SIBU: Majlis Perbandaran Sibu (MPS) tidak akan tunduk kepada mana-mana pengusaha premis makanan yang masih degil dan beroperasi tanpa lesen perniagaan sah.

Pengerusi MPS Datuk Tiong Thai King berkata, pihaknya akan mengenakan tindakan tegas dengan menutup premis dan memindah keluar perabot milik peniaga terlibat.

“Lesen Perniagaan (Trade License) yang dikeluarkan oleh Pejabat Daerah adalah tidak sah kepada mereka untuk membuka perniagaan premis makanan,” katanya.

Tiong menjelaskan, peniaga harus memohon lesen lain dikeluarkan secara sah oleh MPS seperti Lesen Teh dan Kopi (Tea and Coffee License) dan Lesen Kedai Makanan (Foodshop License).

“Pihak majlis telah mengeluarkan saman kepada mereka yang didapati beroperasi tanpa lesen tersebut,” katanya ketika mempengerusi Mesyuarat Bulanan MPS di bilik mesyuarat, Wisma Sanyan, semalam.

Tiong memberitahu, MPS sangat memandang serius masalah berkenaan terutama membabitkan premis makanan yang dibuka tanpa lesen perniagaan sah di sepanjang Jalan Awang Ramli Amit.

“Kedai makanan dibuka di lot perumahan telah menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk terutama pada waktu malam. MPS menulis surat kepada Ketua Polis Daerah Sibu ACP Mohd Kamal Kordi bagi membantu mengeluarkan saman kepada pemilik kenderaan meletakkan kereta di tepi jalan untuk ke kedai makanan terbabit,” katanya.

Jelasnya,  MPS akan mengenakan tindakan tegas dengan menutup mana-mana premis atau kedai makanan dan tidak teragak-agak memindah keluar perabot milik mereka jika masih berdegil tidak mendapatkan lesen perniagaan sah.

Tiong berkata, MPS juga akan mendapatkan maklumat terhadap hotel-hotel yang didapati dibuka tanpa lesen perniagaan sah dan mengambil tindakan tegas terhadap pengusaha hotel berkenaan.

Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi MPS Datuk Andrew Wong, Setiausaha MPS Hii Chang Kee, kaunselor dan pegawai kanan MPS.

Pada majlis yang sama, Tiong turut menyampaikan sijil penghargaan dan Sijil Simpanan Premium kepada empat kakitangan MPS yang bersara wajib.

Mereka ialah Dominic Tiong Chun Ming yang bertugas sebagai penolong pegawai kesihatan persekitaran yang telah berkhidmat selama 39 tahun, mula berkhidmat pada 21 Jun 1976 dan bersara pada 25 April 2015 dan Benet Letap yang bertugas sebagai pekerja awam khas telah berkhidmat selama 35 tahun, mula berkhidmat pada 1 November 1980 dan bersara pada 22 Mei 2015.

Manakala Abran Takum bertugas sebagai pekerja awam telah berkhidmat selama 34 tahun, mula berkhidmat pada 9 Mac 1981 dan bersara pada 22 Mei 2015 dan Yusof Hamid yang bertugas sebagai pekerja awam telah berkhidmat selama 35 tahun, mula berkhidmat pada 23 Julai 1980 dan bersara pilihan pada 3 Mei 2015.

Dalam perkembangan lain, Tiong memberitahu, MPS telah menerima peruntukan sejumlah RM4.14 juta yang diluluskan kerajaan negeri untuk pelaksanaan projek pembangunan di Sibu.

“RM1 juta diperuntuk bagi pelaksanaan projek menaik taraf Dataran Bandar Sibu Fasa I dan RM1 juta untuk menaik taraf Taman Selera Harmoni.

“Selain itu, pelaksanaan projek tebatan banjir untuk tiga kampung di Sibu iaitu Kampung Bahagia Jaya, Teku (RM700,000), Kampung Jeriah (RM920,000) dan Kampung Sentosa (RM520,000),” ujarnya.

Tiong berkata, peruntukan untuk projek tebatan banjir dipohon oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan MPS manakala peruntukan projek menaik taraf Dataran Bandar Sibu dan Taman Selera Harmoni dipohon oleh MPS.

Advertisement