Anda di sini

Lebih 171,000 premis diperiksa sejak Ops Harga 2014 dijalankan

Advertisement

PUTRAJAYA: Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memeriksa 171,323 premis perniagaan di seluruh negara dalam Ops Harga 2014 yang dijalankan sejak awal tahun sehingga kelmarin.

Timbalan Pengarahnya Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata dalam tempoh berkenaan kompaun bernilai RM107,407 dikenakan kepada peniaga yang melakukan pelbagai kesalahan selain merampas pelbagai barang dagangan bernilai RM228,133.

“Daripada 1,694 kes pelbagai kesalahan yang dikesan, 1,235 daripadanya membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, Akta Timbang dan Sukat 1972 (440 kes), Akta Perihal Dagangan 2011 (10 kes) dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (9 kes),” katanya dalam sidang media di sini semalam.

Iskandar berkata kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011, seperti perbuatan tidak mempamerkan tanda harga dan menjual pada harga lebih tinggi daripada harga siling yang ditetapkan, dikesan paling banyak berbanding kesalahan lain. — Bernama

Advertisement