Anda di sini

Pekerja kilang perabot dijumpai mati lemas di Lagun Kuala Semerak

Advertisement

PASIR PUTEH: Seorang pekerja kilang perabut Mohd Suhaimi Abdul Hadi, 47, yang dilaporkan hilang ketika menangkap udang di lagun Kuala Semerak ditemui mati lemas kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Abdul Rozak Muhammad berkata mayat mangsa dijumpai oleh pasukan penyelamat pada jam 6.45 petang.

“Seramai 48 anggota yang terdiri daripada anggota bomba dan penyelamat, polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Majlis Daerah Pasir Puteh menyertai gerakan mencari mangsa sebaik menerima aduan mengenai kehilangannya jam 4 petang semalam (kelmarin),” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Rozak berkata polis menerima laporan daripada anggota keluarga mangsa bahawa mangsa tidak pulang ke rumah di Kampung Jelor di sini, selepas pergi menangkap udang di lagun berkenaan jam 10 malam Ahad lepas.

Katanya pasukan penyelamat melancarkan gerakan mencari di kawasan berkenaan sebaik menerima maklumat terdapat pakaian mangsa yang ditinggalkan di tebing lagun tersebut.

Sementara itu, seorang rakan mangsa, Roslan Mat Deris, 45, ketika ditemui berkata beliau kerap bersama mangsa mencari udang di kawasan itu tetapi pada malam kejadian beliau tidak dapat menyertai mangsa kerana ada urusan lain.

“Mangsa bersemangat mencari udang di situ disebabkan pada malam sebelum kejadian mangsa memperolehi udang sebanyak satu kilogram,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penguasa Bomba Wan Baijuri Wan Hassan berkata pihak berkuasa telah memasang papan amaran bahaya agar orang ramai tidak pergi ke lagun berkenaan. — Bernama

 

Advertisement