Anda di sini

Isu boikot: 92 ketua bahagian UMNO bersolidari sokong Ismail Sabri

Advertisement

PUTRAJAYA: Sejumlah 92 ketua bahagian UMNO menyatakan sokongan terhadap kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung gesaan boikot terhadap peniaga degil yang enggan menurunkan harga barangan.

Mereka turut meminta semua kaum melihat kenyataan itu dari sudut faedah yang boleh membangkitkan tahap kesedaran dan kuasa pengguna yang tinggi.

Kenyataan itu dikeluarkan ketika pertemuan Ismail Sabri dengan ketua-ketua bahagian UMNO yang bersolidariti menyokong saranannya itu di Kelab Tasik Putrajaya di sini semalam.

Ketika ditanya pemberita sama ada beliau kesal apabila kenyataan itu dilihat telah mencetuskan perbalahan antara parti dalam komponen Barisan Nasional, Ismail Sabri berkata tidak semua berbalah, malah ada yang menyokong saranannya, seperti Ketua Wanita dan Pemuda MIC kerana melihat gesaan itu dari sudut yang luas.

“…dan saya dimaklumkan ketika ini sudah ada peniaga yang bersetuju menurunkan harga barang, dan kalau benar ia akibat daripada tekanan ini, faedahnya bukan sahaja kepada satu kaum tetapi keseluruhan masyarakat sebab majoriti rakyat Malaysia adalah pengguna,” katanya.

Ismail Sabri berkata gesaan boikot terhadap peniaga degil yang enggan menurun harga barangan itu turut dibangkitkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, bagaimanapun beliau tidak boleh mengulas lebih lanjut mengenainya.

Sementara itu, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Syeikh Fadzir selaku jurucakap kumpulan itu, berkata sokongan itu berpaksikan kepada kenyataan sememangnya kuasa beli daripada kumpulan majoriti mampu mengubah dan mempengaruhi peniaga untuk menurunkan harga barangan yang akhirnya memberi manfaat kepada semua kaum. — Bernama

Advertisement