Anda di sini

KSH perlu miliki impian, matlamat besar termasuk lahir atlet profesional

Advertisement
Gerawat menyampaikan piala kepada pasukan juara karnival KSH bersama atlet, tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa KSH.
Gerawat menyampaikan piala kepada pasukan juara karnival KSH bersama atlet, tetamu kehormat dan ahli jawatankuasa KSH.

MIRI: Kelab Sukan Highlanders (KSH) perlu memiliki impian dan matlamat besar yang termasuk melahirkan atlet bertaraf profesional. 

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) Datuk Gerawat Gala berkata atlet harus memiliki daya saing yang tinggi dan bermatlamat bertanding sehingga ke peringkat dunia. 

Beliau menambah, KSH harus memiliki sasaran dan cabaran tinggi untuk mencapai keputusan yang cemerlang. 

"Kepada KSH, anda perlu ada impian besar dan matlamat untuk melahirkan atlet peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa seperti yang ada sebelum ini," jelasnya. 

Antara contoh, Cindy John Pasan, 17, yang telah terpilih dalam pasukan ragbi wanita negara ke sukan SEA. 

Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Penutupan Karnival Sukan KSH di Eastwood Valley Golf and Country Club malam semalam.

Gerawat yang juga ADUN Mulu berkata, antara cabaran baharu KSH ialah menganjurkan dan membangunkan sukan pelancongan di dataran tanah tinggi Kelabit.

Antaranya, sukan maraton, berbasikal gunung, larian gunung, larian tamaboh, rentas desa dan larian Hash House Harriers. 

Dengan sokongan Rurum Kelabit Sarawak (RKS) sebagai payung pertubuhan, beliau yakin KSN boleh meneroka usaha baharu seperti mengenal pasti dan mempromosikan produk sukan pelancongan baharu, memperluaskan jaringan hubungan dan belajar daripada pertubuhan dan institusi sukan yang berjaya. 

Menurut Gerawat, usaha itu membolehkan KSH terus menarik minat dan penyertaan golongan muda. 

Selain itu, KSH juga harus bekerjasama dan terlibat dalam program dianjurkan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan negeri untuk memperluaskan jangkauan dan impak. 

Beliau berharap pemain golf muda, Abigail Pearson akan cemerlang dalam pertandingan peringkat negeri dan kebangsaan serta mendapat biasiswa untuk meneruskan pengajian tinggi di Amerika Syarikat.

"Anda boleh membina kerjaya yang berjaya dalam sukan seperti kerjaya profesional lain," jelas beliau. 

Gerawat turut mengumumkan sumbangan peruntukan MRP berjumlah RM25,000. 

KSH turut menerima geran berjumlah RM3,000 daripada ADUN Pujut Adam Yii. 

Dalam pada itu, kontinjen Long Banga/Long Peluan juara keseluruhan karnival yang diadakan bermula 1 Jun dan berakhir semalam.

Majlis turut menyaksikan penyampaian anugerah atlet cemerlang kepada Adams Hendry (golf), Kezia Kyreen Kennedy (golf), Gavin Ghia Mattu (muai thai), Sheringham Saging Leju (kayak), Aaron Liser (memanah) dan Abigail Kedung Pearson (golf). 

Anugerah Pencapaian Seumur Hidup diterima oleh Mary Weng untuk sukan hoki dan Cheyenne Morris untuk sukan bina badan. 

Sebanyak lapan kontinjen dari dalam dan luar Miri seperti Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu hadir menyertai karnival ini. 

Hadir sama Presiden KSH Romeo Peter Raja, Kelvin Hii mewakili Adam Yii dan Presiden RKS Dato Dr Philip Raja.
 

  • oleh
  • Advertisement