Anda di sini

Merunduk Berisi, Bermutu Disanjungi

Advertisement
 

Oleh: William Chan

Pengenalan
Perkembangan dunia penulisan di Sarawak mendapat sumbangan daripada kalangan golongan wanita secara cukup signifikan sekali. Peranan mereka kelihatan seolah-olah bersahaja, tanpa terlalu banyak riak dan kocak, namun nilai dan makna sumbangan itu dalam aspek perkembangan alam penulisan di Bumi Kenyalang ini tidak boleh dipandang remeh.
     Pada peringkat awal penglibatan penulis wanita Sarawak, iaitu sekitar tahun 1970-an, terserlah karya-karya mereka melalui beberapa orang pelopor yang cukup aktif seperti Maimunah Daud, Salbiah Painah, Maliah Sebli, Latifah Haji Shebli, selain Cecilia Chin. Namun, antara nama-nama ini, tiga nama yang cukup menonjol ialah Latifah Haji Shebli, Salbiah Painah dan Maimunah Daud.

 

Sarawak Gazette, GPO dan BKB
The Government Printing Office (GPO) atau Pejabat Percetakan Kerajaan, diwujudkan pada zaman pemerintahan Raja Charles Brooke pada tahun 1870. Fungsi utamanya adalah mencetak Sarawak Gazette untuk menyebarluaskan perintah-perintah Raja dan kerajaan, di samping menjadi medium penyebaran laporan berkaitan isu semasa di Sarawak dan menjadi pelantar penyiaran catatan pegawai-pegawai dan para penyelidik tentang keunikan dan kearifan tempatan negeri Sarawak.
     Penerbitan majalah Sarawak Gazette yang diterbit dan dicetak oleh GPO ini dikatakan sebagai projek kesayangan Raja Charles Brooke. Keluaran pertama Sarawak Gazette bertarikh 26 Ogos 1870 merupakan majalah tiga halaman yang berupa ringkasan telegram daripada agensi berita dunia, Reuters tentang peperangan antara Perancis dan Rusia.
     Seratus tiga puluh tahun selepas itu, gandingan Reuters dan Sarawak Gazette kekal diteruskan. Sarawak Gazette kemudiannya dilihat sebagai wadah penyiaran kepada rakyat Sarawak yang berpendidikan untuk membudayakan penulisan kearifan tempatan.
     Penglibatan awal penulis wanita Sarawak dikesan dalam Sarawak Gazette melalui penulisan Maimunah Daud sekitar tahun 1980-an. Selepas Raja Charles Vyner Brooke menyerahkan Sarawak kepada British pada 8 Februari 1946, kerajaan kolonial itu mengekalkan GPO dan menghidupkan semula Sarawak Gazette yang digantung penerbitannya ketika penaklukan tentera Jepun dari tahun 1941 hingga 1945. Sejak itu, isi kandungan Sarawak Gazette mencakupi sejarah ekonomi Sarawak, perdagangan pesisir, harga-harga komoditi, maklumat tentang pertanian, statistik pengeluaran mineral dan minyak, antropologi dan arkeologi. Sehingga ke hari ini, Sarawak Gazette telah diinovasikan dalam bentuk elektronik dan dikenali sebagai Electronic Sarawak Gazette yang merupakan salinan digital Sarawak Gazette bercetak.

Biro Kesusasteraan Borneo (BKB)
Bangunan Pejabat Percetakan Kerajaan itu kemudiannya digunakan oleh Biro Kesusasteraan Borneo (BKB) untuk kegiatan penerbitan dan pencetakan buku sastera secara terancang dan tersusun di Sarawak. Fokus utama BKB sejak bermulanya produksi penerbitan, iaitu pada tahun 1960, adalah terhadap cerita-cerita rakyat, cerpen, puisi dan novel. Majalah-majalah yang diterbitkan BKB terdiri daripada Dolphin, Nendak dan Perintis.
     Menurut Laporan BKB, sepanjang hayatnya (1960 hingga 1976), badan ini telah menghasilkan sebanyak 577 judul buku, iaitu 53 judul dalam Bahasa Melayu, 271 dalam Bahasa Inggeris, 125 judul dalam Bahasa Iban, 99 judul Bahasa Cina dan 29 judul bahasa-bahasa lain. Biro Kesusasteraan Borneo diwujudkan dengan objektif untuk mengimbangi pembangunan sosioekonomi dengan pelestarian kebudayaan di samping menggalakkan kepengarangan penulis tempatan sekali gus menyebarkan agihan buku-buku lokal secara komersial.
     Oleh sebab sistem pendidikan di Sarawak pada ketika itu menggunakan aliran bahasa Inggeris (manakala bahasa Melayu hanyalah menjadi subjek pilihan atau optional subject), maka dapat difahami mengapa buku dalam bahasa Melayu ketika itu hanya sekadar 8% sahaja berbanding bahasa Inggeris, Iban, Cina dan lain-lain.
     Pada tahun 1977, usaha penerbitan buku diambil alih oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak. Penerbitan buku menjadi satu daripada fungsi utama penubuhan DBP dengan tumpuan secara khusus terhadap penerbitan buku-buku sastera kreatif karya penulis Sarawak seperti cerpen, novel, puisi dan drama. Bidang kritikan juga diberikan keutamaan tetapi sambutannya tidak begitu menggalakkan.
     Selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963, GPO telah diambil alih oleh kerajaan Malaysia dan dijadikan Jabatan Percetakan Negara. Bangunan itu kekal sehingga ke hari ini di Jalan Tun Abang Haji Openg, bersetentang dengan Wisma Saberkas.

Maimunah Daud
Sekitar tahun 1985, Sarawak Gazette banyak menyiarkan karya daripada seorang penulis wanita Sarawak bernama Maimunah Daud. Ketika itu beliau menulis tentang hal-hal berkaitan dialek Melayu Sarawak, serta adat tradisi dan budaya Melayu Sarawak. Maimunah Daud ketika itu sudah memiliki keyakinan yang cukup tinggi untuk menampilkan kearifan tempatan Sarawak dalam tulisan beliau setelah ditaja untuk menjalani kursus penulisan ucapan oleh Asia Foundation ke Amerika Syarikat pada tahun 1985. Pengalaman itulah yang menjadi pendorong bagi beliau menampilkan tulisan-tulisan tentang Sarawak, dan keadaan itu juga bagaikan pendorong kuat bagi para penulis wanita lainnya untuk mengikuti jejaknya dalam berkarya.
     Sebelum itu, Maimunah Daud pernah dihantar ke Australia di bawah Rancangan Colombo untuk menjalani pengajian kewartawanan dan berpeluang ditugaskan menjadi pemberita dan editor The Australian Women’s Weekly pada tahun 1963. Maimunah Daud mula mencipta nama sebagai wartawan pada tahun 1960 ketika berkhidmat dengan Jabatan Perkhidmatan Penerangan di bawah kerajaan kolonial. Ketika itu beliau telah bertanggungjawab mengeluarkan buletin mingguan Jabatan Penerangan yang dinamakan Sarawak dalam Seminggu, dan akhbar bulanan Pedoman Rakyat.
     Pada tahun 1965, beliau dipindah bertugas di Radio Malaysia Sarawak (RMS) sebagai editor berita, dan selepas 12 tahun berkhidmat di radio, beliau dinaikkan pangkat sebagai Penolong Pengarah (Penerbitan) Jabatan Penerangan pada tahun 1977, sehinggalah persaraannya pada tahun 1991.
     Pada tahun 1999, Yayasan Budaya Melayu Sarawak (YBMS) telah menerbitkan sebuah buku tulisan Maimunah Daud berjudul Glimpses of Malay Life in Sarawak. Buku setebal 207 halaman itu memaparkan tentang kehidupan orang Melayu Sarawak berkaitan bahasa, budaya, adat resam serta khazanah warisan. Buku itu dicetak oleh The Sarawak Press Sdn. Bhd.  
      
Latifah Haji Shebli
Tidak syak lagi nama Latifah Haji Shebli merupakan seorang pelopor penulis wanita Sarawak yang paling menonjol dalam karya kreatif. Beliau telah menulis lebih awal daripada Sasterawan Negara (SN) Zurinah Hassan dan SN Siti Zainon Ismail (zurinahhassan.blogspot.com) dalam genre puisi, cerpen dan rencana.
     Pada tahun 1974, beliau bersama-sama dengan Maliah Sebli, telah berjaya menghasilkan antologi puisi Kembang Setangkai Layu di Tugu. Pada tahun 1984, Latifah Haji Shebli memenangi Hadiah Puisi Kebangsaan ESSO-GAPENA dalam Sayembara Deklamasi Puisi Hari Kebangsaan (SDPHK) dan sajak beliau Kita Anak Merdeka turut menjadi teks pilihan SDPHK.
     Karya-karya beliau tersiar dalam akhbar, makalah dan majalah termasuk Dewan Sastera, Jendela Sarawak, Horison, Dewan Siswa, Sabah Times dan Daily Express. Sebuah buku beliau diterbitkan oleh Muzium Sarawak pada tahun 1989 yang berjudul Bersalin: Beberapa Adat, Petua dan Pantang Larang Orang Melayu Sarawak. Sajak Latifah Haji Shebli, “Tanah Airku” turut dimuatkan dalam antologi Malaysia dalam Puisi selenggaraan Kemala dan Ahmad Razali Yusof (DBP, 1991), manakala sajaknya “Aku Menjadi Lebih Berani” turut terpilih untuk Komponen Sastera (KOMSAS) dalam antologi Anak Laut.
     Pada tahun 2000, Latifah Haji Shebli diisytiharkan sebagai penerima Anugerah Sastera Sarawak dalam kategori puisi. Dalam ruangan Ujana Klasik, Dewan Sastera 2011 menyiarkan Pantun Dongeng Sarawak ciptaan Latifah Haji Shebli menggunakan dialek Melayu Sarawak:
     Bismillah cerita dimula,
     bulak cerita bulaklah aku;
     hendak berkahwin Aru Gaharu.

     Tidur susah menutup mata,
     tidur bergolek di atas papan;
     sehabis nyawa mengumpul harta,
     untuk membeli rantai berlian.                                                                                                                                                                                               
 
     Ejek mengejek cuit mencuit,
     berhari-hari duduk mengata;
     rantai berharga jutaan ringgit,
     anak negeri miskin melata.

Sasterwan Negara Muhammad Haji Salleh pernah menulis tentang kejayaan Latifah Haji Shebli:

“The 1970’s also saw the rise of poets like Latifah Haji Shebli who has been quite consistent in her work, published them in magazines and newspapers over the years, and fortunately has recently gathered them in a collection long overdue, Tanahku Ros Merah (2008).”

Salbiah Painah
Penulis wanita yang dilahirkan pada 3 Julai 1936 ketika Raja Charles Vyner Brooke memerintah Sarawak ini telah menghasilkan sebuah novelet Menunggu Esok pada tahun 1970. Beliau amat aktif dalam pergerakan kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan. Beliau menganggotai Persatuan Bahasa dan Sastera Sarawak (PEBAS) pada tahun 1970, dan mewakili Sarawak menghadiri tiga Hari Sastera yang diadakan di Kota Bharu, Kelantan (1972), Kota Kinabalu, Sabah (1973) dan Kuching, Sarawak (1974).
     Beliau, yang merupakan seorang guru, pernah mengendalikan ruangan pendidikan di radio, sambil pada masa yang sama menyumbang tulisan-tulisan skrip drama radio. Beliau dinobatkan sebagai Tokoh Guru Negeri Sarawak pada tahun 1995, Tokoh Warga Tua 2000 dan dianugerahkan dengan pingat yang membawa gelaran “Datuk” pada tahun 2001.

Beb Sabariah
Kumpulan cerpen di bawah judul Mawar Magenta yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 2010 memuatkan 20 cerpen perseorangan Beb Sabariah, nama yang digunakan oleh Hajah Bibi Sabariah binti Haji Abang Awet dalam berkarya. Dalam kata pengantar buku itu yang ditulis oleh Zaharah Nawawi, antara lain menyebut: 

“Seperkara yang cukup istimewa bagi Beb Sabariah yang dikenali masyarakat setempat sebagai Cikgu Bibi biarpun meminati bidang penulisan sastera sejak zaman persekolahan dan maktab perguruan, namun beliau benar-benar menceburi bidang ini hanya pada tahun-tahun akhir kerjayanya sebagai guru iaitu tahun 2000 dengan cerpennya “Rakan Siber” yang disiarkan dalam Mingguan Sarawak.”


     Zaharah Nawawi cukup akrab dengan Beb Sabariah kerana penulis kelahiran Kampung Hulu, Pusa dalam Bahagian Betong ini merupakan ahli Kelab Penulis Zaharah Nawawi (KEPEZI). Cerpen “Rakan Siber” karya Beb Sabariah turut dimuatkan dalam Antologi Cerpen KEPEZI Satu, manakala cerpen “Menyusur Galur” dalam Antologi Cerpen KEPEZI Dua.
     Novel pertama Beb Sabariah yang berjudul Tirani yang merupakan projek penulisan DBP-KEPEZI dimasukkan ke dalam KOMSAS. Jika cerpen pertamanya, “Rakan Siber” disiarkan oleh akhbar tempatan Sarawak pada tahun 2000, cerpen kedua Beb Sabariah, “Surat Untuk Nancy Maimunah” pula disiarkan oleh akhbar kebangsaan Mingguan Malaysia pada tahun 2001. Tiga buah daripada 23 buah anekdot sumbangan Beb Sabariah turut termuat dalam antologi Anekdot Penulis Wanita Sarawak terbitan Persatuan Karya Sastera Sarawak (PEKASA) pada tahun 2022.

Radzemah Bolhassan
Beliau mula menulis pada tahun 1991 dalam genre novel, novel kanak-kanak, cerpen, puisi, esei, cerita rakyat dan pantun. Sehingga kini, penulis wanita Sarawak kelahiran Kampung Jerijih Lama, Belawai ini telah berjaya menghasilkan 43 buah novel (sepanjang tempoh dari tahun 1998 hingga 2022) yang diterbitkan oleh pelbagai syarikat penerbitan seperti DBP, Rhythm Publishing, Utusan Publishing, Tintarona, Cerdik Publishing dan Pelangi Sdn. Bhd.
     Lima buah kumpulan cerpen sudah diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dan Pelangi Publishing dari tahun 2013 hingga 2018, serta empat artikel yang dihasilkannya sudah disiarkan oleh Dewan Budaya, dan Utusan Borneo.
     Radzemah Bolhassan merupakan pengerusi Kelab Penggiat Sastera Sarikei (KEPESSA) sejak tahun 2001 di bawah naungan DBP Cawangan Sarawak. Anugerah-anugerah yang diterimanya setakat ini ialah Anugerah Penulis Harapan Sarawak (2000), Anugerah Sastera Negeri Sarawak (Novel) 2014, Novelis Popular 2016 anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara-GAPENA dan Anugerah Sastera Perdana (Novel Kanak-kanak) anjuran DBP Cawangan Sarawak.

Sriwati Labot
Sriwati binti Haji Labot merupakan penulis kelahiran Sri Aman yang mula menulis sejak tahun 1996. Penerima Hadiah Sastera Negeri Sarawak (Penulis Harapan) 1997-1998 ini banyak memenangi hadiah penulisan cerpen dan puisi pada peringkat negeri, kebangsaan dan ASEAN. Sudah lebih 30 buah buku antologi bersama-sama para penulis lain yang turut memuatkan puisi-puisi beliau setakat ini. Dua buah kumpulan puisi Sriwati Labot baru-baru ini dilancarkan di Festival Sastera Internasional Gunung Bintan, Indonesia, iaitu Luka Merpati (kata pengantar oleh Abizai) dan Cahaya (kata pengantar oleh Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah). 
     Buat satu tempoh yang agak lama, Sriwati Labot telah ‘menyepi’ daripada penghasilan karya atas sebab “mendahulukan keluarga”. Sebagai seorang yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha seorang ahli politik, dan kini sebagai seorang ahli perniagaan, mudah untuk memahami betapa beliau perlu mengimbangi tanggungjawab asasi sebagai seorang isteri dan ibu dalam ‘mengintai’ waktu berkarya.

Penutup
Begitulah sepintas lalu, kejayaan penulis wanita Sarawak dari susur galur secara kronologi, dari mula sehingga dewasa ini. Masih panjang lagi senarai nama mereka yang harus diketengahkan, namun untuk memberi gambaran betapa rancaknya gelanggang pengkaryaan yang mereka berkecimpung ini, adalah memadai setakat ini untuk menyerlahkan keistimewaan tertentu yang dimiliki segelintir mereka.
     Nama-nama seperti Jamilah Morshidi, Ratnawati Jamil, Margi Leo, Datin Hajijah Jais, Lina Piee, Rosani Hiplee, Maliah Adenan, Tentez Susana dan ramai lagi tetap dijadikan rujukan oleh para pengkaji, peminat dan penikmat seni pada umumnya dari semasa ke semasa. Mereka tetap disanjungi.

 
 
Advertisement