Anda di sini

Era baharu Malaysia di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim

Advertisement
EWON
EWON

PENAMPANG: Bakal Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Ewon Benedick menyifatkan perlantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 adalah permulaan era baharu negara.

Ewon menzahirkan ucapan tahniah kepada Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) selepas pelantikkannya sebagai Perdana Menteri dimuktamadkan oleh Yang DiPertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Katanya, Malaysia sememangnya memerlukan seorang pemimpin yang boleh menguruskan masalah ekonomi yang sedang dihadapi sekarang.

“Kepimpinan yang ada pada diri Anwar juga dilihat dapat melaksanakan agenda reformasi dalam tadbir urus kerajaan.

“Saya juga mengalu-alukan kerajaan perpaduan yang bakal dibentuk dapat merangkumi penyertaan semua parti, kaum dan wilayah,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.  

Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian juga berharap dapat bekerjasama dengan Anwar dalam melaksanakan agenda PH khususnya untuk rakyat Sabah, terutama pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Sebagai salah seorang pemimpin parti komponen PH yang akan duduk bersama dengan Anwar, sudah tentunya akan menjadi tanggungjawab saya memastikan semua agenda PH untuk Sabah dilaksanakan.

“Kita mahu melaksanakan semua tawaran ‘Kita Boleh’ PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terutamanya hak 40 peratus Sabah,” katanya.   

Menurutnya, UPKO juga akan mencadangkan kepada Anwar penyertaan parti dalam kabinet perpaduan Kerajaan Persekutuan yang akan ditubuhkan.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UPKO yang diadakan semalam dan akan memaklumkan kepada Anwar cadangan tersebut,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement