Anda di sini

Longgarkan kriteria atau syarat bina balai bomba dan penyelamat 

Advertisement
 

KUCHING: Kriteria atau syarat yang ditetapkan untuk membina balai bomba dan penyelamat perlu diberi kelonggaran agar ia dapat dibina di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong Mohd Chee Kadir berkata, seperti sebelum ini ada permintaan bagi menyediakan balai tersebut namun jawapan yang diberikan ialah tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Adakah kerajaan menggunakan kriteria itu untuk menafikan hak rakyat Kabong untuk mendapat sebuah balai bomba?

"Begitu banyak kebakaran yang telah berlaku dan baru-baru ini sebanyak 10 unit rumah kedai musnah dijilat api," katanya ketika membahas Belanjawan Negeri 2023 pada Persidangan DUN di sini hari ini.

Sehubungan itu, Chee berharap kerajaan dapat mempertimbang melonggarkan kriteria untuk membina balai bomba di kawasan Kabong.

Selain itu, beliau juga berharap agar empat projek yang dinanti rakyat di kawasan Kabong dapat dilaksanakan.

Empat projek itu ialah bina baharu Pejabat Daerah Kabong, bina baharu Dewan Masyarakat Kabong, bina baharu Masjid Daerah Kabong dan Anjung Usahawan.

"Walaupun telah mendapat kelulusan, projek itu belum lagi bermula dan rakyat di Kabong menunggu untuk melihat projek itu siap dan menjadi kenyataan," tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan masalah liputan Internet di kawasan Kabong di mana penduduk khasnya pelajar, guru serta usahawan dalam talian memerlukan liputan Internet bagi menjalankan aktiviti seharian.

"Banyak tempat yang tiada liputan Internet dan boleh dikatakan setengah kawasan kampung, rumah panjang dan perumahan lebih-lebih lagi di kawasan tinggi berada pada tahap tidak memuaskan.

"DUN Kabong khasnya memerlukan capaian Internet dengan kelajuan 4G hingga 5G bagi merancakkan ekonomi digital berbanding sebelum ini," katanya.

Selain itu, Chee menambah supaya usaha menangani hakisan di sepanjang Sungai Seblak, Kabong diambil perhatian segera.
 

  • oleh
  • Advertisement