Anda di sini

Verstappen mampu menangi GP S’pura

Advertisement
Kru pasukan Red Bull memeriksa keadaan tayar sebagai persiapan menjelang Formula 1 Grand Prix Singapura di Litar Marina Bay Street di Singapura. — Gambar AFP
Kru pasukan Red Bull memeriksa keadaan tayar sebagai persiapan menjelang Formula 1 Grand Prix Singapura di Litar Marina Bay Street di Singapura. — Gambar AFP

SINGAPURA: Max Verstappen berkemungkinan memenangi kejuaraan dunia Formula Satu (F1) buat kali kedua pada perlumbaan Grand Prix Singapura di sini hujung minggu ini.

Selepas lima kemenangan perlumbaan berturut-turut, Verstappen memiliki kelebihan 116 mata berbanding pencabar terdekat dengan baki enam perlumbaan pada tahun ini.

Dia boleh disahkan juara dunia buat kali kedua berturut-turut jika memenangi perlumbaan malam di Singapura, selain turut mencipta masa terpantas satu pusingan tetapi juga mengharapkan pemandu Ferrari, Charles Leclerc menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan atau lebih rendah dan rakan sepasukannya, Sergio Perez menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat atau lebih rendah.

Melihat keperluan untuk Verstappen menang Ahad ini, perlumbaan berikutnya di Jepun mungkin melihat peluang cerah untuk pemandu pasukan Red Bull itu mengesahkan kejuaraan dunia tetapi rekod individu juga menjadi rebutan.

Satu kemenangan juga merupakan yang ke-12 Verstappen musim ini, meletakkannya di belakang bintang legenda Michael Schumacher dan Sebastian Vettel (masing-masing 13 kemenangan) untuk jumlah kemenangan paling banyak dalam satu musim.

Sesi ujian masa kelayakan juga penting kepada harapan Verstappen untuk meraih kemenangan, dengan 66.7 peratus pemenang perlumbaan di Singapura bermula dari petak pertama – Vettel adalah pemenang terakhir pada 2019 ketika tidak bermula di petak pertama.

Dari segi mata, tiga pemandu masih dapat memintas Verstappen, George Russell juga mempunyai peluang bersama-sama Leclerc dan Perez walaupun secara realitinya, penguasaan Red Bull musim ini memastikan tiada sebarang kejutan akhir.

Dengan baki enam perlumbaan musim ini, Lewis Hamilton masih tanpa kemenangan pada musim ini dan mungkin menyaksikan juara dunia enam kali itu gagal memenangi sebarang perlumbaan dalam satu musim buat kali pertama.

Pasukannya, Mercedes, bagaimanapun mempunyai rekod yang baik di Singapura, meraih lebih banyak kemenangan berbanding pasukan lain di litar ini dengan empat kemenangan, walaupun Red Bull dan Ferrari masing-masing menang tiga  kali dan boleh menyamai rekod itu pada hujung minggu ini.

Dalam perkembangan lain, perjanjian baharu pasukan Alfa Romeo bersama Zhou Guanyu menyebabkan hanya tinggal tiga slot pemandu untuk musim baharu 2023, dengan pasukan Williams, Haas dan Alpine masih belum mengesahkan barisan pemandu mereka untuk tahun hadapan. — AFP
 

Advertisement