Anda di sini

Latih amal diyakini dapat perbaiki kelemahan pengurusan bencana

Advertisement
Chai (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil salah satu organisasi yang menyertai Latih Amal Ex-MPACCT 2022.
Chai (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil salah satu organisasi yang menyertai Latih Amal Ex-MPACCT 2022.

MIRI: Terdapat kelemahan dari segi pemahaman dalam kalangan agensi-agensi kerajaan sama ada di peringkat pusat, negeri dan daerah, badan berkanun, pihak swasta dan badan-badan bukan kerajaan berkaitan tanggungjawab mereka di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Nombor 20 iaitu Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Bantuan Bencana di peringkat sebelum, semasa dan selepas bencana. 

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara ini adalah berdasarkan teguran Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Ke-14 pada 20 Januari lepas. 

Menurutnya, selain itu kerajaan mendapati terdapat kelemahan dari segi pengurusan maklumat dalam pengurusan bencana. 

“Pengurusan bencana negara sangat bergantung kepada maklumat dinamik yang tepat dan cepat dari lapangan. 

“Pada masa ini, pengurusan bencana negara masih mengamalkan kaedah pengumpulan maklumat secara konvensional dan tidak seiring dengan perkembangan teknologi semasa. 

“Situasi ini menyebabkan proses penyediaan laporan, penganalisisan, pembuatan keputusan dan pengurusan data mempunyai kelemahan yang ketara dalam konteks ‘interoperability’ (kebolehoperasian) di antara pihak-pihak yang terlibat,” katanya. 

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapannya yang dibacakan oleh Pengarah Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak Datu Dr Chai Khin Chung pada Majlis Penutupan Latih Amal Ex-Terminal Pertukaran Kru Lembaga Pelabuhan Miri (MPACCT) 2022 di MPACCT, Pulau Melayu di sini, petang Rabu. 

Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, dengan adanya penganjuran latih amal ini, beliau yakin kelemahan-kelemahan pengurusan bencana dapat diperbaiki dan objektif penganjuran tercapai sepenuhnya. 

“Hubungan dan kerjasama serta kebolehoperasian antara kementerian, jabatan, agensi dan syarikat amat penting dalam memastikan keberkesanan pengurusan bencana pada tahap yang optimum.

“Melalui pelaksanaan latih amal ini, semua pihak dapat menilai serta memahami Pelan Tindakan Kecemasan Bertindak oleh MPACCT dalam memastikan koordinasi dan tindakan antara kementerian, jabatan, agensi dan syarikat swasta selaras dengan pematuhan terhadap ISPS Code Requirements, ISO 9001, ISO 14001 dan ISO 45001 serta mengikut takrifan Arahan MKN No. 18, Arahan MKN No. 20 dan Arahan MKN No. 21,” ujar beliau.
 
Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Keselamatan Negeri MKN Negeri Sarawak Sophian Isswandy Ismail dan Pengurus Kanan Teknikal & Pengurusan Aset mewakili Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri (MPA) Jos Radu. 

Latih Amal Ex-MPACCT 2022 yang dianjurkan bersama MKN dan MPA selama dua hari bermula Selasa dan berakhir Rabu disertai seramai 350 peserta daripada 30 agensi. 
 

  • oleh
  • Advertisement