Anda di sini

Terengganu berminat pelajari ekonomi digital daripada SMA

Advertisement
Irtidzar (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ariffin. Turut kelihatan Carolineson (kiri).
Irtidzar (dua kiri) menyampaikan cenderamata kepada Ariffin. Turut kelihatan Carolineson (kiri).

KUCHING: Terengganu berminat untuk mempelajari ekonomi digital daripada Lembaga Multimedia Sarawak (SMA).

Ini dinyatakan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Terengganu bagi Pelancongan, Budaya dan Ekonomi Digital Ariffin Deraman.

“Kami datang ke sini (Sarawak) kerana kami mahu belajar daripada SMA mengenai digitalisasi.

“Kedatangan kami ke Sarawak juga kerana kami tahu bahawa Sarawak sangat maju dalam ekonomi digital.

“Di pihak kami, kami telah cuba menubuhkan entiti sama seperti SMA tetapi ia mengambil masa yang lama untuk menggubal undang-undang.

“Jadi kami menubuhkan syarikat Terengganu Joint Digital Intelligent Development Sdn Bhd (TAJDID) yang berfungsi sama seperti SMA,” kata Ariffin selepas taklimat oleh SMA di Pusat Inovasi Warisan Budaya (CHIC) SMA di sini, semalam.

Mengenai isu berkaitan, Ariffin berkata Terengganu berminat berkolaboratif dengan Kementerian Pelancongan Sarawak untuk membangunkan aplikasi bagi mempromosikan produk pelancongan terutama dalam ekopelancongan.

Sementara itu Ketua Perkhidmatan Korporat SMA Mohamad Irtidzar Razali menyambut baik delegasi Terengganu dan berharap mereka akan mendapat banyak pengetahuan mengenai ekonomi digital.

Pada lawatan itu, delegasi Terengganu diberi taklimat mengenai peranan dan fungsi SMA dan ekonomi digital oleh Pemangku Ketua Unit Pemantauan dan Pelaksanaan Projek Ekonomi Digital Carolineson Nosin dan e-dompet S-Pay Global oleh Shia Yang.

Advertisement