Anda di sini

Sarawak perlu naik taraf, bina pelabuhan baharu

Advertisement

Juga perlu mencapai pertumbuhan KDNK enam hingga lapan peratus setahun untuk menjadi negeri maju

 

"Kita telah melawat beberapa pelabuhan di negara maju untuk berkongsi, bekerjasama dan membantu kita dalam pembangunan pelabuhan di negeri ini.” 

Dato Majang Renggi
Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak 

Oleh Abang Ismail Abang Su'ud

BINTULU: Pelabuhan laut dalam perlu dinaik taraf dan pelabuhan baharu perlu dibina sekiranya Sarawak ingin menjadi sebuah negeri maju pada 2030.

Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Dato Majang Renggi berkata, tidak hanya perlu menaik taraf pelabuhan, negeri ini juga perlu mencapai pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) enam hingga lapan peratus setahun sehingga tahun 2030 untuk mencapai sebuah wilayah maju.

Katanya, kerajaan telah membina banyak jalan raya, infrastruktur lain namun kapasiti pelabuhan perlu dinaik taraf memandangkan pada masa kini kemudahan pelabuhan sedia ada tidak mampu memenuhi keperluan kargo keluar masuk ke negeri ini.

"Kita telah melawat beberapa pelabuhan di negara maju untuk berkongsi, bekerjasama dan membantu kita dalam pembangunan pelabuhan di negeri ini.

"Timbalan Premier Sarawak merangkap Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Datuk Amar Douglas Uggah Embas juga telah bermesyuarat dengan pengurusan pelabuhan di Belgium mengenai kaedah untuk membangunkan pelabuhan laut dalam di Kuching," ujarnya semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Guru, Silang Budaya (Hari Gawai dan Hari Raya) dan Upacara Penyerahan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) di Sekolah Kebangsaan (SK) Kidurong di sini, semalam.

Justeru katanya, pihaknya telah bermesyuarat di Kuching yang mana ada cadangan untuk membina pelabuhan laut dalam di Tanjong Po tetapi kawasan tersebut mempunyai pokok bakau yang perlu dijaga.

Mengambil kira akan keadaan itu katanya, kerajaan merancang memindahkan pembinaannya ke Tanjung Mang di Kuching sekali gus akan bekerjasama mengenai cara untuk membangunkan pelabuhan baharu tersebut.

Pada masa sama Majang berkata, pihaknya turut membawa wakil Pelabuhan Rotterdam dari Eropah ke Pelabuhan Samalaju untuk bekerjasama dalam usaha menaik taraf Pelabuhan Samalaju menjadi pelabuhan besar.

Katanya, ia merupakan hasrat kerajaan kita untuk membangunkan wilayah Sarawak sebagai wilayah maju yang mengambil kira akan keperluan pelabur tentang pentingnya kestabilan politik, kemudahan tenaga elektrik mencukupi dan kemudahan pelabuhan yang mampu menampung barang kargo keluar masuk ke negeri ini.

"Keadaan itu yang perlu kita lihat dan kapasiti pelabuhan yang perlu kita pertingkatkan," katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju.

Advertisement