Anda di sini

BERSATU Beaufort yakin hadapi pilihan raya

Advertisement
 Isnin (enam kanan) bersama pimpinan dan ahli BERSATU Beaufort melaungkan kata semangat semasa merakamkan gambar kenangan sejurus selesai persidangan.
ALBUM: Isnin (enam kanan) bersama pimpinan dan ahli BERSATU Beaufort melaungkan kata semangat semasa merakamkan gambar kenangan sejurus selesai persidangan.



BEAUFORT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Beaufort optimis mampu menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) sekiranya diadakan bila-bila sahaja namun itu bukan keutamaannya, kata Ketua Bahagian BERSATU Beaufort Datuk Isnin Aliasnih.


Sebaliknya jelas beliau, perkara utama yang didahulukan adalah untuk berkhidmat kepada seluruh rakyat di kawasan itu tidak kira apapun latar belakang termasuklah fahaman politik kerana itu adalah agenda utama dalam perjuangan parti.


Ketika ditanya mengenai harapan beliau kepada ahli-ahli parti mengenai PRU, Isnin berharap ahli serta ketua cawangan dapat menyusun strategi yang lebih baik bagi memastikan kerusi Parlimen Beaufort dimenangi oleh parti BERSATU.


Semasa diminta untuk menjelaskan apakah strategi untuk menghadapi PRU akan datang, beliau memberitahu bahawa jentera parti bahagian itu telah menggerakkan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan peredaran semasa.


Jelas beliau, jentera parti bahagian itu adalah antara yang terbaik namun beliau mahu mereka terus melaksanakan penambahbaikan dalam semua aspek bagi memastikan kemenangan yang lebih utuh dalam PRU akan datang.


"Sekiranya PRU diadakan pada bila-bila masa saya yakin jentera kita sudah bersedia untuk menghadapinya kerana ahli dan pimpinan bahagian telah melaksanakan gerak kerja yang cemerlang, " katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Persidangan Parti BERSATU Bahagian Beaufort yang diadakan di Dewan Pa' Musa kelmarin.


Dalam pada itu, Isnin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias turut menggesa Srikandi dan ARMADA BERSATU supaya menambah keahlian mereka terutama golongan muda bagi memastikan mereka terlibat sama dalam pembangunan dalam aspek politik.


Beliau mahu anak muda mempunyai platform yang boleh mengutarakan idea dan pandangan kepada negara memandangkan generasi muda masa kini merupakan pelapis pemimpin di masa hadapan.


Turut hadir Pemangku Timbalan Ketua BERSATU Beaufort, Shahrom Omar Osin merangkap Naib Ketua BERSATU Beaufort; Pemangku Naib Ketua BERSATU Beaufort Datuk Limus Jury merangkap Bendahari BERSATU Beaufort; Ketua Srikandi BERSATU Beaufort, Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun dan Ketua ARMADA BERSATU Beaufort, Mohd Shahril Osin.

  • oleh
  • Advertisement