Anda di sini

Ratusan sertai perhimpunan antivaksin di Ukraine 

Advertisement
Ratusan penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan antivaksin menyekat jalan raya di Kiev, kelmarin. - Gambar AFP
Ratusan penunjuk perasaan yang menyertai perhimpunan antivaksin menyekat jalan raya di Kiev, kelmarin. - Gambar AFP

KIEV: Ratusan penunjuk perasaan menyekat jalan raya di Kiew kelmarin, membantah langkah anti-COVID-19 dan kempen pemvaksinan, ketika negara itu menangani gelombang penularan baharu.

Salah sebuah negara paling mundur Eropah, Ukraine menghadapi kesukaran dengan peningkatan kes, diakibatkan oleh varian cepat merebak Delta. 

Kadar rendah pemvaksinan telah memburukkan lagi penularan di Ukraine dan orang ramai enggan menerima suntikan vaksin walaupun pihak berkuasa sudah berkali-kali menggesa mereka berbuat demikian. 

Kelmarin, penunjuk perasaan di ibu kota Kiev memegang sepanduk bertulis “Hentikan pandemik palsu ini”, “Katakan 'tidak' kepada genosaid!” dan “Katakan 'tidak' kepada penipuan”.

Guru, Oleksiy Mykytenko, menjelaskan dia digantung kerja lantaran enggan menerima vaksin. 

“Mengapakah hak saya dilanggar? Mengapakah saya perlu disuntik dengan bahan ini?” tegas Mykytenko yang berusia 48 tahun.

Setakat ini, terdapat empat jenis vaksin tersedia di Ukraine: Pfizer/BioNTech, Moderna, AstraZeneca dan Coronavac buatan China.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Ukraine menuduh kempen antivaksin telah dimulakan oleh Rusia bagi menggugat keamanan di Ukraine.

Dalam sebuah artikel agensi berita Ukrinform, timbalan setiausaha majlis keselamatan dan pertahanan negara, Ruslan Demchenko, mempersalahkan perkhidmatan perisikan Rusia. 

Menurut beliau, agensi tersebut mempergunakan media sosial untuk mengurangkan keyakinan tentang pemvaksinan serta menggambarkan langkah yang diperkenalkan bagi membendung penularan sebagai serangan ke atas hak asasi manusia.

Rusia tidak memberi respons terhadap dakwaan itu.

Kelmarin, negara dengan populasi 40 juta itu merekodkan 14,325 kes baharu COVID-19 serta 595 kematian dalam masa 24 jam.

Meskipun penerimaan vaksin sudah meningkat dalam beberapa minggu ini selepas pihak berkuasa melarang mereka yang belum divaksin daripada memasuki tempat awam, hanya 26 peratus daripada warga Ukraine telah divaksin sepenuhnya. – AFP 

Advertisement