Anda di sini

Timbalan pengarah SKMM didakwa kemuka dokumen palsu

Advertisement
 Mohd Daffy semasa melakukan pembayaran jaminan di Mahkamah Kota Kinabalu di sini semalam.
TERTUDUH: Mohd Daffy semasa melakukan pembayaran jaminan di Mahkamah Kota Kinabalu di sini semalam.

KOTA KINABALU: Seorang Timbalan Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) di Negeri Sembilan berdepan tiga pertuduhan selepas mengemukakan dokumen palsu di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, di sini semalam.

Tertuduh, Mohd Daffy Bin Liamin, 37 bagaimanapun tidak mengaku bersalah di hapadan Hakim Abu Bakar Manat.

Menurut pertuduhan pertama, Mohd Daffy sebagai Penolong Pengarah SKMM Beaufort mengemukakan tuntutan memorandum berjumlah RM37,661.65 mengandungi sewa khas bot berjumlah RM1,000 pada 7 Mac 2013 di Pejabat SKMM Kota Kinabalu.

Tuntutan yang diketahui palsu itu adalah bagi memperdaya kononnya tertuduh ada mengeluarkan perbelanjaan sewaan bot sedangkan tertuduh tidak pernah menggunakan perkhidmatan sewaan bot tersebut.

Untuk pertuduhan kedua dan ketiga tertuduh juga mengemukakan tuntutan memorandun sama masing-masing berjumlah RM37,661.65 dengan jumlah kadar sewaan bot sebanyak RM4,000.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan Mahkamah sebanyak RM10,000 iaitu RM4,000 bayaran pendahuluan dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diminta melapor diri ke Pejabat SPRM Negeri Sembilan setiap dua bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah melalui Peguam pada atau sebelum 08 Oktober.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan seorang Penolong Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran Kota Kinabalu tidak mengaku bersalah dengan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Mengikut pertuduhan, Nurul Syazwanie Idris, 31 secara rasuah menerima suatu suapan sebanyak RM1,838 daripada sebuah syarikat sebagai balasan untuk membantu syarikat tersebut mendapatkan kerja-kerja pembekalan barang-barang bagi Program H20 Run anjuran Kelab Sukan dan Hiburan Jabatan Pengairan Dan Saliran Kota Kinabalu pada 17 Mac 2017.

Tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) Akta yang sama.

Mahkamah bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM6,000 serta bayaran wang pendahuluan RM3,000 dengan seorang penjamin.

Tertuduh juga diminta melapor diri ke pejabat SPRM setiap 2 bulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah serta pendengaran kes ditetapkan 12 November depan.

  • oleh
  • Advertisement