Anda di sini

Judi dalam talian: 11 warga Indonesia didenda

Advertisement
 

KUCHING: Padah terlibat dengan aktiviti perjudian dalam talian, 11 warga Indonesia masing-masing didenda RM10,000 atau dua bulan penjara sekiranya gagal membayar oleh Mahkamah Majistret, hari ini. 

Tertuduh yang terdiri daripada dua wanita dan 10 lelaki berusia antara 18 hingga 42 tahun itu masing-masing mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi. 

Mahkamah juga memerintahkan kesemua tertuduh untuk dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pengusiran. 

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama mengendalikan mesin perjudian iaitu enam unit set komputer dalam satu kejadian pada 1 Ogos lalu, jam lebih kurang 5.30 petang di sebuah rumah di Jalan Lapangan Terbang, Taman Green Heights di sini.

Pelbagai peralatan dirampas termasuk enam unit monitor komputer, enam unit pemprosesan komputer (CPU), router, modem dan peralatan lain disyaki digunakan dalam menjalankan kegiatan perjudian tersebut.

Sehubungan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM10,000 bagi setiap mesin judi dan hukuman penjara maksimum lima tahun.  

Sementara itu di mahkamah sama, seorang lelaki warga tempatan turut didenda RM10,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar kerana melakukan kesalahan sama iaitu mengendalikan mesin perjudian dalam talian berupa sebuah telefon bimbit. 

Ahmad Unus, 63, mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut pada 30 Ogos lalu, jam lebih kurang 2 petang di sebuah kafeteria di Jalan Gold Jade di sini.

Berdasarkan keterangan kes, tertuduh didapati sedang duduk bermain judi dalam talian jenis Mega888 sebelum ditangkap oleh pihak polis pada hari kejadian. 

Pakar judi juga mengesahkan bahawa telefon bimbit berkenaan merupakan mesin judi sebagaimana yang ditafsirkan dalam Seksyen 2 ARJT 1953. 

Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh pegawai pendakwa, Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

  • oleh
  • Advertisement