Anda di sini

LDP berdiri teguh bersama GRS

Advertisement
CHIN
CHIN

KOTA KINABALU: Parti Liberal Demokratik (LDP) hari ini menzahirkan sokongan penuh kepada Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Presiden LDP Datuk Chin Su Phin berkata, perkembangan politik tidak menentu di Semenanjung Malaysia adalah sesuatu yang mengecewakan khususnya ketika dalam tempoh negara memerangi pandemik COVID-19.

Katanya, undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri oleh pihak pembangkang serta memberikan tekanan kepada ahli parti untuk meletak jawatan dalam Kabinet tidak akan mampu memulihkan keadaan.

Chin menekankan semua parti politik harus mengetepikan perbezaan masing-masing dan bekerjasama untuk menyelematkan negara dari krisis COVID-19.

"Malangnya terdapat beberapa ahli politik hanya mementingkan diri dengan melancarkan agenda untuk menentang kerajaan kini serta cuba mengambil alih tapuk pimpinan Perdana Menteri menerusi undi tidak percaya.

"Berdasarkan situasi semasa, Yang di-Pertuan Agong akan melantik seorang Perdana Menteri Interim berdasarkan perlembagaan walaupun Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan, yang mana akan menumpaskan agenda sebenar pihak pembangkang," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada akhirnya rakyat juga yang sengsara disebabkan kehidupan mereka kini terjejas teruk.

Katanya, rakyat mahukan keadaan politik yang stabil khususnya ketika dalam tempoh pandemik COVID-19.

"Kestabilan ini akan memastikan keperluan asas rakyat dapat dilindungi, ramai dalam kalangan rakyat yang telah kehilangan pekerjaan mahukan pemimpin memberikan tumpuan kepada kebajikan mereka," katanya.

Beliau berkata, GRS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam usaha inginkan kehidupan rakyat dapat diteruskan dengan baik tanpa ada kekacauan politik.

Chin turut memuji sokongan yang diberikan Pengerusi UMNO Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mahukan GRS terus kekal demi rakyat negeri ini.

"Pendirian LDP adalah jelas, kita menyokong penuh kerajaan GRS walaupun wujudnya kekacauan politik di Semenanjung Malaysia.

"Kita tidak mahu melihat krisis politik berlaku di Sabah, sebab kita memberikan fokus untuk mencapai proses vaksinasi di Sabah serta membangunkan semula ekonomi negeri," katanya.

Chin turut mengingatkan pihak pemerintah dan pembangkang agar bersama-sama membangunkan ekonomi dalam usaha mendapatkan kepercayaan daripada rakyat.

Katanya, kini bukan masanya untuk memperjuangkan agenda masing-masing sebaliknya tumpukan pembangunan ekonomi.
 

  • oleh
  • Advertisement