Anda di sini

Borneo Empurau Farm hatceri pertama di Sarawak dianugerah pensijilan MyGAP

Advertisement
 Bohari (tiga kiri) menyerahkan sijil MyGAP kepada Yong sambil disaksikan yang lain semalam.
PENGIKTIRAFAN: Bohari (tiga kiri) menyerahkan sijil MyGAP kepada Yong sambil disaksikan yang lain semalam.

SERIAN: Syarikat Borneo Empurau Farm Sdn Bhd menjadi hatceri pertama di Sarawak mendapat pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia atau MyGAP.

Pengarah Perikanan Laut Sarawak Bohari Leng berkata pensijilan itu sebagai pengiktirafan kepada syarikat tersebut yang komited mengusahakan penternakan ikan empurau dengan mematuhi amalan akuakultur dengan baik.

Menurutnya, pensijilan hanya akan diberikan kepada syarikat yang memohon dan berjaya mempraktikkan aspek biosekuriti iaitu Amalan Akuakultur Baik (GAgP) dengan baik.

“Pensijilan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia melalui Cawangan Biosekuriti Perikanan ini bertujuan membantu penternak yang menjalankan bidang akuakultur bersaing di pasaran yang lebih besar.

“Maka, pensijilan ini telah membuktikan produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini terjamin dari segi kualiti dan selamat untuk dimakan,” katanya semasa Majlis Penyerahan Sijil MyGAP kepada Syarikat Borneo Empurau Farm Sdn Bhd di Dewan Borneo Empurau Farm di Batu 33, Jalan Kuching-Serian semalam.

Menurutnya, pensijilan itu turut mengambil kira kebajikan pekerja termasuk kesihatan dan memastikan pekerja bebas daripada penyakit yang boleh membawa pencemaran kepada produk perikanan tersebut.

“Syarikat ini telah berjaya menepati setiap piawaian prinsip asas Biosekuriti Perikanan termasuk prosedur pengurusan yang baik, bersih dan terkawal, sistem pemantauan terhadap benih dan kesihatan ikan yang baik serta pengurusan penggunaan bahan kimia yang terkawal.

“Ini turut membuktikan bahawa produk syarikat ini mampu menembusi pasaran eksport import negara tempatan malahan antarabangsa,” tambahnya.

Bohari dalam pada itu turut menggalakkan syarikat lain memohon pensijilan MyGAP bagi menjamin produk perikanan yang dihasilkan berkualiti, selamat dimakan dan memenuhi kriteria negara pengimport yang menginginkan jaminan kualiti produk yang tinggi.

“Kawalan kritikal dan syarat-syarat yang ketat telah dikenakan oleh kebanyakan negara pengimport terhadap hasil perikanan seperti negara Kesatuan Eropah (EU), Australia, Korea selatan, dan lain-lain.

“Menerusi pensijilan ini, ia dapat membantu memastikan prinsip biosekuriti tercapai terutama dari segi pengurusan, sistem penternakan, rekod dan daya jejak,” tegasnya.

Menurut beliau, Jabatan Perikanan akan sentiasa melakukan pemeriksaan secara berkala terhadap syarikat yang telah dianugerahkan pensijilan MyGAP bagi memastikan mereka sentiasa mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan sepanjang masa.

Setakat ini katanya, terdapat 28 premis akuakultur di Sarawak yang telah dipersijilkan MyGAP di mana empat daripadanya adalah ladang, 19 sangkar dan lima hatceri.

Sementara itu, pemilik Borneo Empurau Farm and Resort Sdn Bhd Datuk Yong Fook Heng ketika ditemui melahirkan rasa gembira kerana ladang itu diberikan pensijilan MyGAP.

Menurutnya, pensijilan itu sangat penting bagi membolehkan produk keluaran ladang itu dieksport ke luar negara dan diiktiraf kualitinya.

“Kalau hendak mengeksport produk ke luar negara, memang amat memerlukan sijil MyGAP. Kalau tidak memiliki sijil ini, kita memang tidak dapat mengeksport produk kita ke mana-mana tempat,” katanya.

Ditanya bila tarikh Borneo Empurau Farm and Resort dibuka secara rasmi, Yong berkata pihaknya menjangkakan pada September 2021 namun bergantung kepada situasi semasa pandemik COVID-19.

Katanya, kerja-kerja pembinaan Borneo Empurau Farm and Resort yang berkonsepkan agropelancongan itu kini telah mencapai 90 peratus siap.

Ia akan dilengkapi dengan 31 unit calet, sebuah restoran yang menghidangkan empurau pada harga berpatutan serta sebuah rumah panjang 18 bilik.

Selain itu, taman tersebut turut dilengkapi dengan tarikan lain seperti air terjun buatan, taman lapangan kuda, zoo mini, taman tema air mini, pusat akuaponik, trek hutan, kebun buah-buahan dan sayuran organik serta akuarium ikan air tawar Borneo.

Selain empurau, taman itu turut menternak ikan tilapia hibrid, ikan emas dan udang galah.

Advertisement