Anda di sini

Kelibat digeruni

Advertisement

Oleh Clare Cinderella//

 

KERAP KELIHATAN: Kelibat buaya yang sempat dirakam di Sungai Niah, semalam.

MIRI: Penduduk sepanjang Sungai Niah di sini kini perlu berwaspada berikutan kelibat buaya semakin kerap kelihatan sejak kebelakangan ini sama ada di sungai mahupun berjemur di tebing-tebing sungai.

Dalam kejadian terbaharu petang semalam, seorang wanita ternampak seekor buaya sepanjang kira-kira 16 kaki dan dianggarkan sebesar tong minyak berenang-renang di sungai tersebut.

Wanita terbabit ternampak reptilia itu dari tingkap di tingkat atas rumahnya terletak tidak jauh dari Sekolah Kebangsaan (SK) Chee Mung, Pekan Batu Niah dan sempat merakam pergerakan buaya itu di sungai berkenaan.

Katanya, sejak tinggal di rumahnya yang terletak di tebing Sungai Niah 10 tahun lalu, ia bukan kali pertama beliau ternampak kelibat buaya di sungai berkenaan, malah semakin kerap sejak kebelakangan ini.

Beliau mengakui, ketika membasuh di tebing sungai berkenaan, beliau pernah ternampak seekor buaya menyorok di bawah sebatang kayu balak terapung tidak jauh dari lokasinya.

Bimbang keselamatannya, beliau terus meninggalkan tempat itu dan sejak itu, semakin berwaspada dan berhati-hati apabila pergi ke sungai.

Sungai Niah merupakan salah satu sungai di kawasan Batu Niah, selain Sungai Suai, Sungai Sepupok dan Sungai Saeh yang terkenal dengan populasi tinggi buaya.

Bagaimanapun, sejak 10 tahun lalu, tiada kes serangan ataupun mangsa dibaham buaya dilaporkan berlaku di Sungai Niah.

Kali terakhir, kes baham buaya di Sungai Niah membabitkan seorang murid sekolah rendah lebih 12 tahun lalu.

Sementara itu, jurucakap Sarawak Forestry (SFC) di sini memberitahu meskipun ada laporan penduduk terdapat buaya di sungai berkenaan, namun pihaknya tidak dapat menangkap atau membunuh buaya tersebut kerana dalam kawasan perlindungan, Taman Negara Gua Niah dan kategori haiwan terlindung.

“Oleh itu, kita menasihati penduduk dan orang awam supaya berwaspada serta mengambil langkah berjaga-jaga setiap kali melakukan aktiviti di Sungai Niah,” katanya.

Jurucakap itu menambah, pihaknya juga tidak menggalakkan orang awam terutama kanak-kanak mandi di sungai tersebut bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.

Bagi orang ramai yang ternampak buaya di sungai itu atau sungai-sungai lain sekitarnya dan bimbang keselamatan mereka, boleh menghubungi SFC menerusi talian 019-8290994.

Advertisement