Anda di sini

Sanjay Dutt didiagnos dengan kanser paru-paru

Advertisement
 Gambar bertarikh 20 Disember 2018 menunjukkan Sanjay Dutt semasa majlis perkahwinan aktres Priyanka Chopra dan penyanyi AS Nick Jonas di Mumbai. Sanjay Dutt telah didiagnos dengan kanser paru-paru, lapor media India baru-baru ini. — Gambar AFP
JALANI RAWATAN: Gambar bertarikh 20 Disember 2018 menunjukkan Sanjay Dutt semasa majlis perkahwinan aktres Priyanka Chopra dan penyanyi AS Nick Jonas di Mumbai. Sanjay Dutt telah didiagnos dengan kanser paru-paru, lapor media India baru-baru ini. — Gambar AFP

BINTANG Bollywood, Sanjay Dutt, yang menjalani kehidupan yang begitu berwarna-warni dan tragik sehinggakan ia menjadi subjek sebuah biopik, telah didiagnos dengan kanser paru-paru, laporan media India menyebut Rabu lepas.

Pelakon bahasa Hindi itu, yang diberi jolokan ‘Deadly Dutt’, pernah menjalani hukuman penjara kerana memiliki senjata api yang dibekalkan oleh kumpulan samseng yang bertanggungjawab bagi serangan bom di Mumbai pada 1993 selain turut bertarung dengan ketagihan dadah.

Pada Selasa lepas, Dutt mengeluarkan satu kenyataan dalam media sosial yang menyebut beliau akan ‘mengambil cuti singkat untuk sedikit rawatan perubatan.’

Laporan media kemudian memetik satu ciapan dari wartawan dagangan filem yang disegani Komal Nahta yang menyebut bahawa pelakon berusia 61 tahun itu telah didiagnos dengan kanser paru-paru dan akan pergi ke Amerika Syarikat untuk menjalani rawatan.

Dutt menjadi masyhur pada pertengahan zaman 1980-an dalam beberapa filem aksi di mana beliau melakukan lagak aksi ngeri sendiri, seterusnya menerima jolokannya.  

Tetapi bintang itu juga bergelut dengan penyalahgunaan bahan terlarang, termasuk heroin dan kokain, yang dikatakan telah dicetuskan oleh kesedihan selepas kehilangan ibunya, yang juga ikon filem India, Nargis Dutt, akibat kanser.

Selepas bercuti, beliau kembali dengan beberapa filem yang popular pada hujung zaman 1980-an dan awal zaman 1990-an termasuk ‘Jeete Hain Shaan Se’ (Kita Hidup Dengan Bergaya), ‘Saajan’ (Orang Tersayang) dan ‘Khal Nayak’ (Penjahat).

Tetapi kehidupannya berubah dengan dramatik apabila beliau ditangkap selepas serangan bom yang terancang di Mumbai, ketika itu dipanggil Bombay, pada Mac 1993 yang mengorbankan 257 orang.

Dutt pada akhirnya didapati bersalah pada 2006 kerana menyimpan senjata api yang dibekalkan oleh ketua-ketua mafia yang melancarkan letupan.

Serangan itu dipercayai dirancang oleh tokoh-tokoh dunia gelap Muslim untuk membalas dendam ke atas rusuhan keagamaan di mana kebanyakan Muslim maut, selepas pembakaran sebuah masjid purba di utara India.

Beliau pada mulanya dijatuhi hukuman penjara selama enam tahun dan menghabiskan masa selama 18 bulan di dalam penjara sebelum dilepaskan dengan ika jamin pada 2007, sementara menunggu rayuan.

Pada 2013, pensabitannya ditegakkan tetapi hukuman penjaranya dikurangkan kepada lima tahun, dan beliau dihantar balik ke penjara sebelum dibebaskan awal pada 2016.

Dutt juga sudah berkahwin sebanyak tiga kali. Isteri pertamanya Richa didiagnos dengan ketumbuhan otak pada 1987 dan meninggal dunia pada 1996.

Pada 2018, sebuah filem tentang kehidupannya, ‘Sanju’, dikeluarkan dengan memaparkan tempoh dari waktu sebelum Dutt membuat penampilan sulung di Bollywood dengan drama romantik ‘Rocky’ pada 1981 hingga kepada pembebasannya dari penjara pada 2016.

Filem baharunya ‘Sadak 2’ (Jalan 2) dijadual dikeluarkan menerusi Disney+ Hotstar pada hujung bulan ini. – AFP

Advertisement