Anda di sini

Pengusaha kolam udang dalang sindiket judi atas talian 

Advertisement
 Haris menunjukkan barangan elektronik yang dirampas di calling centre di sebuah kondominium di sini.
RAMPAS: Haris menunjukkan barangan elektronik yang dirampas di calling centre di sebuah kondominium di sini.

PENAMPANG: Seorang pengusaha kolam udang yang giat menjalankan kegiatan judi atas talian sejak Mac lalu berjaya ditahan sepasukan polis dalam dua siri serbuan di sebuah kondominium di sini.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata lebih teruk lagi isteri kepada suspek serta adik beradik dan saudaranya yang bersekongkol sebagai pekerja turut ditahan semasa serbuan di ‘calling center’ (pusat panggilan) kira-kira jam 6 petang.

“Sebaik mendapat maklumat berkenaan kegiatan perjudian atas talian itu, pasukan kita menjalankan siasatan dan risikan selama dua minggu sebelum menjalankan serbuan di dua lokasi di kondominium berhampiran kediaman suspek.

“Hasil serbuan berjaya menahan lima individu berumur 24 hingga 37 tahun termasuk dua lelaki dan tiga wanita warga tempatan yang berasal dari Sabah serta semenanjung.

“Polis turut merampas barangan elektronik termasuk komputer, telefon bimbit, modem, serta sejumlah kad sim yang digunakan untuk menjalankan kegiatan judi atas talian,” katanya.

Haris berkata hasil siasatan lanjut mendapati salah seorang suspek yang ditahan adalah penganjur manakala empat yang lain ialah pekerjanya yang juga isterinya serta adik beradik dan saudara sesama mereka.

Menurutnya tindakan ini adalah bagi memastikan kegiatan judi atas talian mudah dijalankan tanpa pembabitan orang luar manakala lokasi calling centre di kondominium itu sebagai langkah keselamatan untuk mengelakkan kegiatan mereka mudah dikesan pihak polis.

Tambahnya pekerja akan mendapat upah sebanyak RM1,200 sebulan bagi menjalankan promosi serta kegiatan judi atas talian terbabit manakala penganjur akan mendapat keuntungan melalui komisen yang diperolehi pada setiap permainan.

“Siasatan mendapati pekerja akan mempromosi judi atas talian kepada pelanggan dan pelanggan yang berminat akan membuat pembayaran secara talian sebelum suspek memberikan kata laluan untuk perjudian itu.

“Melalui siasatan awal juga kita percaya rangkaian terhadap sindiket perjudian atas talian ini bukan hanya di Sabah tetapi turut merangkumi di kawasan luar termasuk semenanjung dan begitu juga dengan pelanggan kepada sindiket ini,” katanya.

Menurutnya dengan penganjuran aktiviti judi ini suspek akan memperolehi anggaran keuntungan sebanyak RM5,000 sehari dan mencecah RM150,000 sebulan.

“Sejak beroperasi pada Mac lalu, anggaran keuntungan yang diperolehi dalam tempoh lima bulan ini adalah sebanyak RM750,000.

“Pihak polis bagaimanapun tidak dapat membuat rampasan berbentuk wang tunai berikutan kesemua transaksi serta urusan perjudian dijalankan sepenuhnya secara talian,” katanya.

Haris berkata kesemua suspek kini sedang direman dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953.

  • oleh
  • Advertisement