Anda di sini

Bakakuk, 3 butir peluru ditemui dalam bot

Advertisement
KEPTEN ZAINUDIN MOHD ZUKI
KEPTEN ZAINUDIN MOHD ZUKI

SANDAKAN: Selaras senapang bakakuk beserta tiga butir peluru dijumpai di dalam sebuah bot tidak mempunyai nombor pendaftaran berhampiran hutan nipah di kawasan Sungai Beluran di sini.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Zainudin Mohd Zuki berkata kejadian jam 11.06 pagi, bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan rondaan Op Pluto Timur telah terserempak dengan sebuah bot kayu dalam keadaan mencurigakan dari arah laut menuju ke Pekan Beluran. 

“Menyedari kehadiran anggota penguatkuasa Maritim Malaysia, bot tersebut kemudiannya terus memecut laju ke arah hutan nipah dalam kawasan Sungai Beluran,” katanya.

Beliau berlata ketika bot tersebut berjaya dihampiri pada pukul 11.24 pagi di mana pemilik bot dipercayai telah melarikan diri masuk ke kawasan hutan berhampiran.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas bot kayu tidak bernombor itu, pihaknya tidak menemui sebarang dokumen. Bot yang menggunakan enjin 15 kuasa kuda kemudiannya diperiksa,” katanya. 

Zainudin berkata pihaknya telah menemukan senapang buatan sendiri atau bakakuk kira-kira tiga kaki panjang di dalam sebuah beg yang diletakkan di bawah lapisan kayu bot. 

“Sebuah beg kecil juga turut dijumpai dan berisi tiga butir peluru di tempat yang sama,” katanya.

Beliau berkata bot tersebut dibawa ke Jeti Pos Maritim Beluran untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat untuk untuk disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960.

Zainudin turut mengingatkan agar komuniti maritim sentiasa bekerjasama dengan pihak Maritim Malaysia dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan dengan aktiviti menyalahi undang-undang atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.

  • oleh
  • Advertisement