Anda di sini

Sukar laksana pembangunan di kawasan dikuasai pembangkang

Advertisement

SARIKEI: Menteri Pembangunan Sosial Tan Sri William Mawan Ikom menegaskan, bukan suatu yang mudah bagi jabatan atau kerajaan Barisan Nasional (BN) melaksanakan sesuatu pembangunan atau menggiatkan aktiviti kemajuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) atau Parlimennya yang dikuasai pembangkang.

Katanya, situasi ini berlaku kerana kepimpinan kerajaan BN mempunyai jurang perbezaan yang begitu jauh dengan pembangkang, baik daripada aspek perjuangan untuk rakyat mahupun agenda pembangunan dan kemajuan negara jika dibandingkan dengan perjuangan pihak pembangkang.

“Sungguhpun berhadapan dengan situasi sedemikian, kakitangan dan jabatan kerajaan yang telah diamanahkan untuk melaksanakan segala agenda pembangunan di segenap pelosok tempat dan semua peringkat masyarakat harus amanah dan melaksanakan tanggungjawab tersebut tanpa mengira fahaman politik komuniti di kawasan terbabit.

“Agenda ini harus difahami golongan ini, kerana dalam kita menjalankan amanah negara, fokus kita selaku agensi yang dipertanggungjawabkan adalah satu, iaitu bergerak dan bekerja untuk memajukan negara dan bangsa tanpa mengira fahaman politik,” kata Mawan.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perpisahan dan Sambutan Residen Bahagian Sarikei di Dewan Suarah Sarikei, malam kelmarin.

Majlis berkenaan dianjurkan oleh Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan (MAKSAK) Bahagian Sarikei bagi meraikan perpindahan Residen Bahagian Sarike Michael Dawi Alli yang bakal berpindah ke Kuching iaitu dengan menyandang jawatan pengarah Unit Pentadbiran di Jabatan Ketua Menteri Sarawak.

Pada masa yang sama, majlis itu turut dianjurkan bagi menyambut kehadiran Residen Sarikei yang baharu bagi mengantikan Michael iaitu bekas Residen Bahagian Kapit Dahim Nadot.

Advertisement