Anda di sini

Kuching ‘pukau’ Bintulu 6-1

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Ismail ledak lima gol, curi tumpuan pada aksi pembukaan Piala Sarawak 2014

PATAH SERANGAN: Pemain pertahanan Bintulu mengeluarkan bola ketika menerima asakan pemain Kuching.

KUCHING: Juara bertahan Kuching berpesta gol dalam perlawanan pembukaan Piala Sarawak 2014 apabila membelasah Bintulu 6-1 di Stadium Negeri petang semalam.

Dibarisi beberapa bekas pemain Sarawak, Kuching mencetak jaringan pertama menerusi penyerang berpengalaman Ismail Bujang pada minit ke-8.

Ismail terus mencuri tumpuan apabila menjaringkan gol kedua selang setengah jam kemudian.

Hatrik pertama Piala Sarawak 2014 dihasilkan Ismail apabila meledak gol ketiga pada minit ke-55.

Tiga minit kemudian kealpaan benteng pertahan Bintulu mengundang padah apabila Ismail sekali lagi membolosi pintu gol lawan.

Pesta gol Kuching berterusan sekali lagi menerusi Ismail pada minit ke-64.

Tidak cukup dengan jaringan 5-0, Kuching menjaringkan gol keenam menerusi Mohd Hafiz Abu Bakar pada minit ke-72.

Minit ke-87 perlawanan menyaksikan Bintulu beroleh gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disudahi Xavier Mensa Nyipa.

Jurulatih Kuching, Idris Untong yang ditemui selepas perlawanan tidak menyangka anak buahnya mampu menjaringkan jaringan besar.

“Saya tidak menjangka mampu menang besar kerana Bintulu perlu menang dalam perlawanan ini.

“Kita memang inginkan kemenangan dan jaringan besar ini merupakan bonus kepada pemain,” katanya.

Pasukannya akan bermain seperti biasa dan tidak memandang rendah kemampuan SUKMA 2016 pada 23 September (esok).

Perlawanan pertama antara SUKMA 2016 dan Bintulu menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Kumpulan B menyaksikan Miri mengalahkan PDRM 2-1 dalam perlawanan yang berlangsung di Padang D.

ATM pula mengalahkan Sri Aman 3-2 manakala Limbang menewaskan Mukah 3-0.

Perlawanan hari ini menyaksikan Sarikei menentang PDRM, Samarahan lawan Betong dan Sibu menentang ATM.

Advertisement