Anda di sini

MOSTI kenal pasti pelbagai kaedah baharu termasuk penggunaan robotik tangani COVID-19

Advertisement
Tangkap layar rakaman 'live' di Facebook Bernama Radio 

KUALA LUMPUR: Kementerian Sains Teknologi & Inovasi (MOSTI) sedang mengenal pasti beberapa kaedah baharu, antaranya penggunaan robotik bagi mempertingkat keberkesanan ujian saringan COVID-19.

Timbalan Menterinya Ahmad Amzad Hashim berkata, MOSTI menggunakan setiap ruang yang ada bagi terus memperkenal dan mengetengahkan pelbagai inovasi rakyat Malaysia, bagi menangani penularan wabak itu.

"Ramai yang tidak tahu kemudahan makmal-makmal di Malaysia adalah antara yang terbaik di rantau ini, malahan kita turut terima pelbagai cadangan dan idea banyak pihak, melibatkan bioteknologi, penggunaan 'Artificial Intelligence' (A.I), dron dan robotik, untuk kita sama-sama tangani isu ini.

"Kita ambil contoh idea penggunaan robotik, sekarang ini petugas hadapan kita terpaksa berurusan secara langsung, dengan kawasan berisiko COVID-19 termasuk pesakit, namun dengan penggunaan robotik ia dilihat mampu mengambil alih sebahagian tugasan itu," katanya pada rancangan temu bual khas Radio Bernama bertajuk 'Peranan MOSTI Dalam Mendepani COVID-19’, hari ini.

Jelasnya, MOSTI akan turut mempertingkat prestasi ujian saringan COVID-19, antaranya melibatkan penggunaan kaedah 'remote sensing' dan 'super station', selain akan turut mempergiat aspek pendigitalan secara komprehensif, bagi memastikan jentera pentadbiran terus berlangsung.

Selain itu, MOSTI juga sedang mempertimbangkan pelbagai ‘cadangan’ aplikasi telefon bimbit, yang dilihat mampu memudahkan ujian saringan kesihatan sendiri untuk diguna pakai orang ramai.

"Baru-baru ini kita turut menerima satu cadangan aplikasi telefon bimbit menggunakan teknologi A.I, untuk membuat ‘health self-screening’. Dengan hanya menggunakan kamera telefon bimbit masing-masing, mereka sudah boleh mendapat andaian keputusan (sama ada positif COVID-19 atau tidak) dengan ketepatan sekitar 70 peratus," kata Ahmad Amzad. - Bernama 

Advertisement