Anda di sini

Orang ramai sokong keputusan kerajaan tidak mengadakan bazar Ramadan dan Gawai

Advertisement

KUCHING: Keputusan kerajaan Sarawak membatalkan bazar Ramadan dan bazar Gawai tahun ini mendapat sokongan orang ramai.

Ramai yang berpendapat langkah ini merupakan pendekatan terbaik bagi mengekang penularan wabak COVID-19.

 

Seorang penjawat awam, Azlan Mohamed (gambar) dari Petra Jaya berkata, beliau bersetuju dengan langkah kerajaan Sarawak memandangkan COVID-19 belum reda.

"Pembatalan kedua-dua bazar ini amat penting bagi kebaikan kerana pada masa sekarang. Kita kena utamakan keselamatan kita sendiri terlebih dahulu. Bagi saya apa yang dilakukan oleh kerajaan kita merupakan satu langkah mengekang penularan wabak," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua lapisan masyarakat untuk bersama berganding bahu dalam membendung wabak ini dengan menyelamatkan diri dan keluarga melalui pematuhan terhadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pendapat Azlan itu turut disokong oleh Alisha Mohd, 22, yang merupakan seorang pelajar daripada Institusi Pengajian Tinggi di Kota Samarahan di sini.

Tindakan sedemikian, menurut Alisha, bukan sahaja dapat membendung penularan wabak COVID-19 yang kini telah meragut banyak nyawa.

"Biar pun sedih tahun ini ketika berpuasa kurang meriah tanpa bazar Ramadan, namun kita harus akur dengan keputusan kerajaan kerana ia adalah langkah yang baik untuk mencegah penularan COVID-19.

"Bagaimanapun saya harap masih ada peniaga yang menjual juadah berbuka puasa biar pun hanya di atas talian. Sekurang-kurangnya dengan cara ini kita masih boleh menikmati pelbagai juadah untuk berbuka," ujarnya.

 

Seorang kakitangan swasta, Rafiella Benjamin (gambar) berkata langkah kerajaan untuk membendung COVID-19 dengan tidak melaksanakan bazar Ramadan dan bazar Gawai tahun ini wajar disokong.

“Oleh kerana COVID-19 mudah berjangkit dan sangat berisiko, saya yakin masyarakat berbilang kaum di negeri ini akan memahami keputusan yang diambil kerajaan demi keselamatan semua.

“Ini bukan masa sesuai untuk kita berhimpun dan menganjurkan apa-apa acara yang boleh memudaratkan situasi ketika. Jadi mari kita bersama memainkan peranan masing-masing untuk mengekang wabak ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement