Anda di sini

LTTE: Keputusan ikat jamin dua ADUN, ketua pegawai perbadanan diketahui hari ini

Advertisement

MELAKA: Mahkamah Sesyen di sini, semalam menetapkan hari ini untuk memutuskan sama ada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan seorang ketua pegawai perbadanan yang menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, November tahun lepas dibenarkan diikat jamin atau sebaliknya.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam Ramkarpal Singh yang mewakili ADUN Gadek, G. Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P. Gunasekaran, 60, dan ketua pegawai perbadanan, S. Chandru, 38, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Izhanudin Alias dan Aliff Asraf Anuar Sharuddin.

Dalam prosiding hampir empat jam itu, Ramkarpal berhujah Mahkamah Sesyen mempunyai kuasa untuk mendengar permohonan ikat jamin dan ketiga-tiga anak guamnya wajar diberi jaminan berikutan pertuduhan yang dihadapi mereka bukan satu kesalahan serius dan berat serta bukan kes yang memperuntukkan hukuman yang tinggi seperti mana kes berat lain.

“Ketiga-tiga anak guam saya tidak akan melarikan diri dan akan memberikan kerjasama untuk hadir ke mahkamah selain rakyat memerlukan kehadiran dua wakil rakyat mereka iaitu Saminathan dan Gunasekaran bagi melaksanakan tugas sebagai ADUN di kawasan masing-masing, manakala Chandru perlu menjalankan tugas sebagai ketua pegawai sebuah perbadanan milik kerajaan negeri Melaka,” katanya.

Terdahulu, Mohd Izhanudin memohon mahkamah memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi mengikut Seksyen 177A Kanun Tatacara Jenayah selain membantah permohonan ikat jamin itu kerana hujahan jaminan dan kes di bawah akta kesalahan kesalamatan perlu dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Elesabet kemudian membenarkan pihak pembelaan mengemukakan permohonan jaminan terhadap ketiga-tiga tertuduh sebelum memerintahkan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pada 29 Okt lepas, Saminathan, Gunasekaran dan Chandru didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018. — Bernama

Advertisement