Anda di sini

12 warga China ditahan disyaki terlibat judi dalam talian: Polis

Advertisement
 Ahmad memandu sebuah jentera berat untuk memusnah dan melupuskan lebih 50,000 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah di IPD Kajang, Kajang semalam. — Gambar Bernama
DIMUSNAHKAN: Ahmad memandu sebuah jentera berat untuk memusnah dan melupuskan lebih 50,000 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah di IPD Kajang, Kajang semalam. — Gambar Bernama

KAJANG: Dua belas warga China ditahan kerana disyaki terlibat dengan kegiatan perjudian dalam talian dalam serbuan di sebuah banglo di Jalan Bayu, Bukit Gita Bayu, Seri Kembangan, di sini, pada Selasa.

Mereka yang terdiri daripada sembilan lelaki dan tiga wanita berusia antara 22 dan 57 tahun itu ditahan pada jam 10 malam oleh sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D7 (Bahagian Antimaksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata semasa tangkapan, kesemua mereka sedang sibuk menjalankan urus niaga judi dalam talian dengan menggunakan telefon pintar dan komputer riba.

“Semua yang ditahan itu mempunyai dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh.

“Polis turut merampas dua set komputer, sembilan komputer riba, 22 telefon pintar dan dua modem,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes melibatkan lebih 50,000 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak dan lucah di IPD Kajang, di sini semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati kegiatan judi dalam talian itu telah beroperasi selama tiga bulan dengan menyasarkan pelanggan dari China melibatkan transaksi keuntungan sehingga RM80,000 sehari.

Sementara itu, Ahmad Dzaffir berkata pelupusan DVD cetak rompak dan lucah dianggar bernilai lebih RM250,000 yang dilakukan semalam melibatkan 53 kertas siasatan dari tahun 2005 hingga 2018.

“Semua barang yang dilupuskan adalah kejayaan polis dalam usaha membanteras kegiatan penjualan DVD cetak rompak dan lucah di daerah ini dan pelupusannya dilakukan melalui prosedur operasi standard (SOP) digariskan Jabatan Alam Sekitar yang lebih selamat dan sesuai,” jelasnya.

Turut dilupuskan empat kotak permainan seks. — Bernama

Advertisement