Anda di sini

Jerman diarah untuk capai kemenangan besar

Advertisement
 Gambar fail bertarikh 7 Oktober ini menunjukkan pasukan Jerman sedang menjalani sesi latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Argentina di Dortmund, barat Jerman. — Gambar AFP
KEKALKAN STAMINA: Gambar fail bertarikh 7 Oktober ini menunjukkan pasukan Jerman sedang menjalani sesi latihan menjelang perlawanan persahabatan menentang Argentina di Dortmund, barat Jerman. — Gambar AFP

BERLIN: Jerman telah diarah untuk mencapai kemenangan yang besar dalam perlawanan kelayakan Euro 2020 pada hari ini (Ahad) di Estonia dalam persaingan bagi tempat teratas dalam sebuah kumpulan yang sengit.

Selepas mereka menewaskan Ireland Utara 3-1 di Rotterdam pada Khamis lepas, Belanda menduduki tempat teratas dalam Kumpulan C.

Jerman, Belanda dan Ireland Utara semua mempunyai 12 mata tetapi Ireland Utara sudah bermain lebih satu perlawanan.

Jerman membelasah Estonia 8-0 di Mainz ketika kedua-dua pasukan bertemu pada Jun lalu dan Jerman mahukan tiga mata lagi di Talinn manakala pasukan Belanda juga bermain menentang Belarus di tempat lawan pada hari ini.

“Matlamat kami adalah untuk tidak menimbulkan sebarang keraguan mengenainya.Kami perlu mengutip tiga mata,” kata pengarah pasukan Oliver Bierhoff sebelum penerbangan semalam ke bahagian timur.

Dua pemain sayap Serge Gnabry dan Marco Reus masing-masing menjaringkan dua gol dalam kemenangan besar pada Jun lalu, tetapi Bierhoff memberi amaran tentang sikap sambil lewa apabila menentang jkelab tercorot Estonia nanti, yang mengutip hanya satu mata sahaja daripada enam perlawanan kelayakan.

“Perlawanan sedemikan kadang-kadang aneh. Lebih lama anda memberi udara kepada pasukan seperti itu untuk bernafas, keadaan boleh menjadi lebih buruk,” kata Bierhoff.

Estonia berada 86 tempat di bawah Jerman, menurut ranking FIFA, dan Bierhoff mahu melihat bukti bagi jurang dalam kelas itu.

“Kita harus menjelaskan dari saat pertama bahawa hanya satu sahaja keputusan yang penting.”

Ketua jurulatih Joachim Loew mempunyai 13 pemain yang cedera atau sakit untuk perlawanan persahabatan pada Rabu lepas yang berakhir 2-2 dengan Argentina di Dortmund, tetapi situasi sudah semakin pulih.

Tiga pemain pilihan utama, Reus, yang mengalami kecederaan lutut, pemain tengah Ilkay Gundogan dan penyerang Timo Werner, kedua-duanya demam selesema, kini dapat bermain.

“Kami mahu dan akan menang supaya kami tidak ada sebarang msalah dalam kelayakan,” tambah Bierhoff.

Belanda mesti gagal sekurang-kurangnya sekali dalam baki perlawanan kelayakan mereka untuk membolehkan Jerman menduduki tempat teratas dalam kumpulan mereka.

“Itulah masalahnya,” kata Bierhoff, “maka itu ia adalah penting bagi kami untuk memenangi tiga perlawanan kami seterusnya,” tambahnya dengan dua pasukan teratas yang akan layak.

Kemenangan ke atas Estonia, kemudian Belarus di Moenchengladbach pada 16 November dan tiga hari kemudian menentang Ireland Utara di Frankfurt akan menyaksikan Jerman layak.

Gnabry, yang mempamerkan prestasi cemerlang selepas dia menjaringkan empat gol untuk Bayern Munich di Tottenham 10 hari lalu selain menyumbat gol dalam keputusan seri dengan Argentina, menjangkakan kesukaran.

Pemain berusia 24 tahun itu sudah menjaringkan 10 gol dalam 11 perlawanan antarabangsa pertamanya.

“Kami tidak boleh memandang rendah mereka, terutamanya apabila mereka ada penyokong di belakang mereka,” kata bekas pemain sayap Arsenal itu.

“Mereka akan bermain dengan sangat defensif untuk menyusahkan keadaan bagi kami.”

Pemain pertahanan tengah Freiburg, Robin Koch, yang membuat penampilan sulung pada Rabu lepas sebagai pemain gantian lewat, akan mengekalkan tempatnya selepas pemain pertahanan Hertha, Niklas Stark, dihantar pulang setelah mengalami luka dalam pada kakinya ketika mengadakan latihan.

Kapten Jerman, Manuel Neuer, akan kembali menjaga gol selepas penggantinya Marc-Andre ter Stegen diturunkan untuk menentang Argentina. — AFP

Advertisement