Anda di sini

Wanita tidak mengaku salah atas tiga pertuduhan menipu

Advertisement
 Cho dibawa keluar dari mahkamah setelah didakwa atas tiga pertuduhan menipu dan mengambil dadah.
TIDAK MENGAKU: Cho dibawa keluar dari mahkamah setelah didakwa atas tiga pertuduhan menipu dan mengambil dadah.

SIBU: Seorang wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas tiga pertuduhan menipu membabitkan kerugian RM16,650.

Peggy Cho, 33, dibenarkan bebas dengan ikat jamin berjumlah RM4,500 dengan dua penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.

Mahkamah turut menetapkan 9 Oktober ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Cho didakwa menipu sepasang suami isteri membabitkan pembelian ikan arowana dengan kerugian RM6,250 dan RM8,000.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 21 Ogos, 2019 kira-kira jam 12.17 tengah hari di Jalan Cempaka dan 22 Ogos, 2019 kira-kira jam 9.15 pagi di hadapan sebuah kedai makan di Jalan Ria.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Cho didakwa menipu seorang penjual telefon bimbit pada 11 September, 2019 di sebuah kedai makan Jalan Merdeka Barat membabitkan pembelian telefon pintar iPhone dengan kerugian RM2,400.

Bagi ketiga-tiga pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan sebatan dan juga boleh dikenakan denda.

Dalam pada itu, Cho juga dikenakan denda RM2,400 atau lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan mengambil dadah berbahaya.

Dia didakwa mengambil dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine pada 24 April, 2014 kira-kira jam 3.05 petang di Balai Polis Sungai Merah.

Untuk pertuduhan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a), Akta Dadah Berbahaya 1952.

Cho dibenarkan bebas setelah membayar denda terbabit.

Advertisement