Anda di sini

Ketengahkan produk hutan bukan kayu Sarawak

Advertisement
 Len bergambar bersama pemenang utama cabutan bertuah pada penutupan Karnival NTFP Sarawak 2019 di Tebingan Kuching semalam.
BERTUAH: Len bergambar bersama pemenang utama cabutan bertuah pada penutupan Karnival NTFP Sarawak 2019 di Tebingan Kuching semalam.

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) disaran bekerjasama dengan Kedutaan Malaysia di luar negara bagi mengetengahkan produk hutan bukan kayu (NTFP) tempatan dalam pasaran antarabangsa.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh berkata, produk yang diketengahkan itu dilihat sesuai dijadikan cenderamata kerana masyarakat luar gemar mengumpulkan koleksi produk seperti itu.

“Sebagai contoh, semasa lawatan saya ke Finland, pejabat Kedutaan Malaysia di sana menjadikan produk keluaran tempatan sebagai cenderamata untuk pelawat.

“Usaha seperti ini amat baik kerana kita bukan sahaja dapat mempromosikan produk dan khazanah di negeri kita bahkan membantu meningkatkan  ekonomi masyarakat khususnya di luar bandar.

“Oleh itu, saya rasa idea ini boleh diperluaskan menerusi kerjasama antara JHS dengan pejabat Kedutaan Malaysia di luar negara,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival NTFP Sarawak 2019 sempena Ulang Tahun Ke-100 JHS di Tebingan Kuching di sini, semalam.

Len menambah, JHS juga perlu melihat acara atau kaedah lain untuk meningkatkan pengeluaran sumber asli seperti rotan dan buluh.

“Kita tidak dapat bergantung dengan hasil keluaran sedia ada dari hutan, maka itu kita perlu mencari kaedah lain untuk meningkatkan pengeluaran sumber ini seperti membuka ladang atau tanaman.

“Sekiranya kita mempunyai sumber khazanah asli yang cukup, kita akan dapat menghasilkan lebih banyak produk kraf untuk dipasarkan di peringkat global,” ujarnya.

Mengenai karnival itu, kata Len ia berpotensi menjadi platform terbaik untuk mewujudkan kerjasama dalam usaha mempromosi dan memperluaskan rangkaian pemasaran untuk kelestarian pembangunan NTFP.

“Saya harap  lebih ramai penyertaan daripada agensi kerajaan dan bukan kerajaan termasuk sektor swasta mahupun pertubuhan antarabangasa untuk program ini.

“Penglibatan mereka adalah sebagai memberi sokongan berterusan terhadap pembangunan, promosi dan pemasaran produk NTFP yang lebih efisien dan merentasi benua,” ujarnya.

Untuk makluman, Len memberitahu penganjuran karnival NTFP yang memasuki edisi keempat tahun ini menyaksikan kutipan jualan kira-kira RM300,000 berbanding RM100,000 tahun lalu.

“Ini merupakan satu kejayaan besar untuk kita, mungkin kerana penglibatan peserta dari dalam dan luar negara yang kompetitif.

“Sehubungan itu, saya menggalakkan penganjuran karnival ini diperhebatkan untuk kepentingan bersama pada masa depan,” katanya.

Hadir sama, Pengarah JHS Hamden Mohammad.

  • oleh
  • Advertisement