Anda di sini

Jerebu: Kualiti udara Kuala Baram di tahap bahaya

Advertisement
 Jerebu tebal yang menyelubungi kawasan ILP Miri hingga ke Kuala Baram menyebabkan bacaan IPU amat tidak sihat dan berbahaya. 
TEBAL: Jerebu tebal yang menyelubungi kawasan ILP Miri hingga ke Kuala Baram menyebabkan bacaan IPU amat tidak sihat dan berbahaya. 

MIRI: Jerebu tebal menyelubungi kawasan Kuala Baram tengah hari ini mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berbahaya, 324 pada pukul 12 tengah hari, melonjak naik daripada bacaan 217 iaitu paras amat tidak sihat, yang dicatatkan pada pukul 8 pagi tadi.  

Mengikut data Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) di SK Kuala Baram 2, kawasan itu terjejas dan berada dalam tahap berbahaya sejak 10 pagi dengan bacaan IPU 302 naik kepada 317, pada pukul 11 pagi. 

Manakala di ILP Miri pula, bacaan menurun daripada paras berbahaya IPU 301 pada pukul 8 pagi tadi kepada kepada 296 (sangat tidak sihat) pada pukul 12  tengah hari kekal pukul 11 pagi tadi. 

 

Bacaan IPU di bandar raya Miri pula, semakin menurun kepada paras bacaan IPU 97 iaitu paras sederhana daripada bacaan IPU 102 iaitu tidak sihat pada pukul 11 pagi tadi.  

Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon 6 Miri telah bertarung selama dua jam dengan api yang marak membakar kawasan hutan tanah gambut di sini malam tadi dan berjaya memadamkannya. 

Ketuanya, Law Poh Kiong ketika dihubungi memberitahu pihaknya akan terus melakukan pemadaman pada pagi ini dan yakin akan berjaya memadamkan api di seluruh kawasan Lot 3709 terutama yang berdekatan dengan pinggir jalan utama, Jalan Bypass Miri-Kuala Baram. 

Kebakaran berhampiran jalan utama, Jalan Bypass Miri-Kuala Baram, malam tadi.

"Malam tadi kami berjaya memadamkan api terbesar di dalam hutan, dan keadaan di Miri semakin baik. Pertarungan dua jam itu tidak mudah tetapi semua anggota kami berjaya melakukannya, dengan kesihatan mental dan fizikal yang kuat," katanya. 

Api yang dicetuskan oleh manusia dan ditambah dengan cuaca kering serta angin kencang telah menyebabkan keadaan semakin sukar dan kebakaran semakin buruk kerana merebak dengan pantas. 

Katanya, syarikat-syarikat besar sepatutnya berusaha lebih keras untuk memadamkan kebakaran di tanah mereka dengan membawa lebih banyak tenaga kerja dan jentera berat.

"Selepas pasukan bomba sukarela pulang malam tadi, anggota kami masih 'berlawan' api sehingga larut malam untuk memadamkannya," ujar beliau. 

Bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran
Bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran

Law memberitahu bagi 'hotspot' pertama di lot 3709 berhampiran Jalan Bypass Miri-Kuala Baram, pihaknya menjangkakan mereka berjaya memadamkan kesemua kebakaran di kawasan berkenaan pada hari ini. 

Bagi 'hotspot' kedua yang terletak berdekatan dengan simpang masuk ke Kompleks Hamidah di Desa Indah 3, Tudan, beliau mengakui, api yang marak nagak besar, tambahan pula berhampiran dengan kawasan perumahan dan kompleks kediaman anak-anak yatim.  

Manakala hotpot ketiga pula berdekatan dengan kawasan perumahan Taman Desa Murni. 

"Kalau kita boleh padamkan ketiga-tiga hospot ini, maka kita boleh memdamkan punca api dan mengawal ia daripada terus merebak. 

"Sekarang apa yang tinggal cuma bekas-bekas terbakar dan meninggalkan asap tebal. Apa yang kami risau ialah asap-asap ini yang akan mengakibatkan jerebu," katanya. 
 
"Harap-harap dalam dua tiga hari ini, asap ini akan terus berkurangan kerana bahan bakar (punca) semakin berkurangan terutama apabila ia sampai ke laluan benteng penghalang api atau 'fire break' kita," tambahnya. 

Mengenai keadaan jerebu yang teruk di sepanjang laluan menuju ke Kuala Baram dan ke sempadan di negara Brunei, Law berkata jarak penglihatan agak kurang disebabkan asap tebal kerana api di sepanjang jalan berkenaan masih lagi aktif. 

"Kepada pengguna yang menggunakan laluan di sepanjang Jalan Bypass Miri-Kuala Baram ini, berhati-hatilah dan jangan memandu dengan laju, kerana asap agak tebal," katanya lagi. 

  • oleh
  • Advertisement