Anda di sini

Daftar pernikahan bagi mengelak isu dokumentasi anak

Advertisement
 Lee (tiga kiri) menunjukkan dokumen pengecualian bayaran bagi ujian DNA seorang pelajar tingkatan empat di JPN UTC Miri, semalam.
BANTU: Lee (tiga kiri) menunjukkan dokumen pengecualian bayaran bagi ujian DNA seorang pelajar tingkatan empat di JPN UTC Miri, semalam.

MIRI: Penduduk luar bandar yang bernikah mengikut adat perlu mendaftarkan pernikahan mereka bagi memastikan tiada masalah dokumentasi ke atas anak yang baharu lahir.

Menteri Muda Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian Datuk Lee Kim Shin berkata, sijil nikah akan memudahkan proses pendaftaran sijil kelahiran bayi dan penentuan kewarganegaraan bayi.

“Jika pasangan ini bernikah secara adat, maka mereka mempunyai tuai rumah atau penghulu untuk menandatangani dokumen bagi mengesahkan perkahwinan mereka.

“Kita tidak mahu bayi yang bakal dilahirkan nanti menghadapi masalah dokumentasi kerana ibu bapa mereka tidak memiliki sijil nikah atau kad pengenalan,” katanya di sini, semalam.

Ahli Dewan Undangan Senadin itu memberitahu, sebanyak 32 kes permohonan di Jabatan Pendaftaran Malaysia bagi kawasan Senadin masih belum diselesaikan.

Ia membabitkan kes pendaftaran sijil kelahiran, permohonan kad pengenalan, kewarganegaraan dan sebagainya membabitkan penduduk pedalaman luar bandar.

“Kes sebegini paling banyak dikesan di konstituensi Senadin kerana mereka berpindah dari pedalaman ke bandar.

“Ada antara mereka lewat mendaftar sijil kelahiran bayi kerana tidak tahu setiap kelahiran perlu didaftarkan dalam tempoh 42 hari,” katanya.

Beliau menegaskan, pendaftaran kelahiran amat penting untuk anak-anak mendapat pelbagai kemudahan disediakan kerajaan.

Ini termasuk seperti pinjaman buku teks, bantuan pemberian khas persekolahan, pemeriksaan kesihatan, Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan sebagainya.

Terdahulu, Lee telah mengadakan mesyuarat di JPN bagi menyelesaikan permohonan pendaftaran kewarganegaraan seorang pelajar tingkatan empat sekolah menengah di sini.

  • oleh
  • Advertisement