Anda di sini

Guru sekolah rendah ditahan disyaki terlibat kegiatan dadah

Advertisement
 Dadah disyaki jenis methamperhamine ditemui ketika pemeriksaan dijalankan.
BAHAN BUKTI: Dadah disyaki jenis methamperhamine ditemui ketika pemeriksaan dijalankan.

MUKAH: Seorang guru sekolah rendah antara tiga individu ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan berkaitan dadah di pekan Selangau Ahad lalu.

Tangkapan itu dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah selepas kereta dinaiki tiga individu terbabit ditahan di hadapan sebuah restoran sekitar jam 11.10 pagi.

Ketua Polis Daerah Mukah DSP Jimmy Panyau berkata, mereka yang ditangkap terdiri daripada seorang guru, 49 serta isteri, 38, dan seorang lelaki warga Indonesia.

Anak pasangan itu masing-masing berusia 17 tahun dan sembilan tahun yang turut menaiki kereta terbabit bagaimanapun dibebaskan.

Beliau menambah, hasil pemeriksaan ke atas sebuah beg dalam kereta terbabit polis menjumpai dan merampas tiga peket plastik berisi dadah disyaki methamphetamine (syabu).

“Dalam siasatan awal, guru terbabit mengaku terlibat dalam pengedaran syabu secara kecil-kecilan sejak awal tahun ini di kawasan ladang sawit di Selangau dan Mukah disebabkan masalah kewangan.

“Suspek mengaku memperolehi bekalan dadah daripada seorang pengedar di Sibu,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jimmy berkata, keputusan ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah.

Katanya, guru sekolah rendah di Selangau itu bersama isterinya dan lelaki warga Indonesia itu ditahan reman empat hari untuk membantu siasatan.

“IPD Mukah memandang serius permasalahan dadah di bahagian Mukah dan membanteras kegiatan tersebut secara berterusan.

“Orang ramai turut diminta bekerjasama dan memberi maklumat kepada polis untuk menangani masalah dadah secara serius,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 Kanun Keseksaan.

Advertisement