Anda di sini

Jepak bakal melalui proses pembangunan drastik

Advertisement
 Lakaran pelukis jambatan ikonik Kuala Kemena ke Jepak.
IKONIK: Lakaran pelukis jambatan ikonik Kuala Kemena ke Jepak.
 Kuala Kemena di Sungai Kemena yang akan dibina jambatan menyeberang Jepak.
LOKASI PEMBINAAN: Kuala Kemena di Sungai Kemena yang akan dibina jambatan menyeberang Jepak.
 Lokasi jambatan Kuala Kemena dari bandar Bintulu menyeberang Jepak yang akan dibina.
BAKAL DIBINA: Lokasi jambatan Kuala Kemena dari bandar Bintulu menyeberang Jepak yang akan dibina.
KAMARUDDIN
KAMARUDDIN
DRAHMAN SISIT
DRAHMAN SISIT

JEPAK bakal melalui proses pembangunan drastik dan pesat apabila pembinaan Jambatan Kuala Kemena ke Jepak mula dilaksanakan oleh kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS)bermula tahun ini dengan majlis pecah tanahnya pada 22 Julai ini (Isnin).

Apabila siapnya jambatan itu kemudahan rangkaian perhubungan turut membawa kesan perubahan ke atas Jepak bukan lagi sebuah perkampungan atau kawasan penempatan pesisir luar bandar yang terpinggir tetapi sebuah bandar baharu dijangka dibangunkan.

Keutamaan penting kerajaan negeri menjadikan Jepak membangun dengan membina jambatan penghubung ke Jepak agar lebih dekat dengan pusat bandar Bintulu.

Tidak dinafikan Bintulu terkenal dengan udang geragau dan belacannya serta sebagai perkampungan nelayan satu ketika dahulu didiami 5,000 penduduk.

Tetapi, kini meningkat drastik populasinya mencecah 300,000 orang sejak padang gas asli pertama ditemui di Luconia Tengah, luar pantai Bintulu.

Seterusnya Malaysia LNG ditubuhkan pada 14 Jun 1978 selepas perjanjian usaha sama ditandatangani antara Petronas, Shell BV dan Mitsubishi mengusahakan projek gas cecair asli pertama Malaysia merubah Bintulu sebagai bandar perindustrian terus membangun sehingga kini.

Justeru, dalam usaha merealisasikan impian melihat Jepak turut membangun sama maka Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) diberi kontrak membina jambatan dengan jalan penghubung dari bandar Bintulu ke Jepak bernilai RM466.68 juta (RM466,679,4970).

Kontrak itu dianugerahkan oleh Kerajaan Sarawak kepada PPES Works CCCC JV Sdn Bhd iaitu usaha sama antara PPES Works(Sarawak) Sdn Bhd (PPES Works) dan China Communications Construction Company (M) Sdn Bhd (CCCC (M)) pada 13 Mac 2019.  

CMS memiliki 51 peratus kepentingan dalam PPES Works manakala baki 49 peratus dipegang oleh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak(SEDC).

Diperkenalkan dengan pihak-pihak terlibat sebagai ‘Pakej 5’, skop kerja termasuk pembinaan dan penyiapan jambatan Bintulu-Jepak di Kuala Kemena apabila siap bukan sahaja meningkatkan perhubungan tetapi menjadi tambahan kepada kehebatan kejuruteraan sekali gus merubah bandar Bintulu.

Jambatan kabel itu panjangnya 1,048 meter dengan mempunyai empat lorong dan termasuk dalam skop kerja ialah pembinaan jejambat di Jalan Tun Ahmad Zaidi, Jalan Tun Razak dan persimpangan lalu lintas menyambung Jalan Abang Galau dengan jarak empat kilometer. Kontrak selama empat tahun dengan penyiapannya disasarkan hingga 2 April 2023.

Projek itu menempat semula pentadbiran bahagian ke Jepak, memberi impak holistik kepada sosioekonomi dan integrasi kawasan luar bandar dan bukan sekadar jambatan biasa tetapi satu jambatan berbentuk ikonik.

Jambatan itu membantu pertumbuhan kawasan Jepak di seberang sungai menempatkan Pejabat Residen Bahagian Bintulu baharu, bangunan lain, perumahan, pejabat pihak berkuasa tempatan, jabatan dan agensi kerajaan.

Sudah tentunya ‘wajah’ Jepak terus berubah dengan pembinaan kompleks kerajaan serta pembangunan perumahan, pusat komersil dengan persekitaran hijau.

Apa kata ketua-ketua masyarakat dan penduduk di Bintulu.

Mengulas mengenai pembinaan jambatan itu Temenggung Rosli Kamaruddin berkata, sebagai rakyat Bintulu beliau amat bangga dan bersetuju dengan pembinaan Jambatan Kuala Kemena ke Jepak.

“Bandar Bintulu masa kini begitu pesat membangun namun sekurang-kurangnya pembinaan jambatan itu kerajaan juga dapat merancang membangun bandar baharu di Jepak.

“Bukan atas dasar kecantikan reka bentuk jambatan itu sahaja malah jambatan itu dapat menangani dan mengurangkan masalah kesesakan jalan raya di bandar Bintulu sekali gus pembangunan dan kemajuan Bintulu lebih diketahui umum,” katanya ditemui Utusan Borneo di sini semalam.

Katanya, beliau berasa amat gembira dengan pelaksanaan projek itu memandangkan pada masa depan perjalanan jauh dari bandar Bintulu ke Jepak dapat didekatkan.

“Saya sebagai ketua masyarakat dan rakyat di Bintulu mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan negeri masa kini melalui Gabungan Parti Sarawak (GPS) atas usaha tersebut.

Katanya, perancangan membina jambatan itu lama difikirkan hanya tinggal angan-anggan satu ketika dulu tetapi sekarang ‘mimpi menjadi realiti’.

Dalam pada itu, Penghulu Drahman Sisit berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan Sarawak dan GPS merancang membina jambatan itu menjadi penghubung langsung penduduk terutamanya di kawasan Jepak ke bandar Bintulu.

“Ia adalal laluan terputus atau `missing link’ bagi jalan pesisir dan dengan adanya jambatan ini segala perhubungan dipermudahkan,” ujarnya.

Katanya, memandangkan tumpuan pembangunan lebih di bandar Bintulu sebelum ini maka jambatan itu wajar untuk kawasan Jepak dibangunkan lebih-lebih lagi pusat pentadbiran Bahagian Bintulu bersesuaian dipindah ke Jepak.

“Kita mahu seimbangkan pembangunan agar tidak tertumpu di pusat bandar Bintulu sahaja sebaliknya dikembangkan ke Jepak.

“Saya berharap penduduk di kawasan Jepak menyokong kerajaan GPS serta dapat terlibat sama dalam usaha-usaha pembangunan kerajaan. Hanya kerajaan GPS lebih tahu hal ehwal Sarawak dan kita mahu orang-orang Sarawak memimpin dan membangunkan Sarawak,” katanya.

Jelasnya, orang luar hanya pada masa tertentu berada di negeri ini hanya sekejap selepas itu kembali ke tempat asal mereka akhirnya tidak ditinggalkan begitu sahaja.

Senada dengan itu, Penghulu Drahman Kawi pula menyifatkan pembinaan jambatan Kuala Kemena ke Jepak tersebut lama dirancang dan banyak kali tergendala namun impian menggunakan kemudahan itu kini menjadi kenyataan.

“Penduduk di Jepak senang hati dengan projek dilaksanakan di Bintulu itu seperti Jambatan Kuala Kemena tersebut kerana ia merupakan kemudahan amat ditunggu-tunggu mereka,” katanya merupakan penghulu bagi kawasan Jepak.

Beliau berkata, ia merupakan projek pembangunan diharap-harapkan bukan sahaja orang Jepak atau rakyat di Bintulu malah rakyat di luar Bintulu memandangkan ia memberi laluan mudah dan memendekkan perjalanan dan masa ke Jepak dari Bintulu atau dari Mukah serta kawasan penempatan pesisir.

Tambahnya, pejabat residen dan pembangunan bandar baharu di Jepak juga tidak menggugat kampung tradisi sedia ada di Jepak seperti kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, pembangunan Jepak mengambil kira model pembangunan Petra Jaya di Kuching.

“Pada satu masa dan ketika nanti mungkin Jepak menjadi sebuah daerah penuh dan penduduk di Jepak juga suka melihat Kampung Jepak dibangunkan,” katanya.

Menurutnya, jika dikira pembangunan kerajaan banyak dilaksanakan di Bintulu dan bagi penduduk Bintulu sendiri, pembinaan jambatan itu amat wajar malah tiada masalah memandangkan dapat memenuhi keperluan kemudahan amat didambakan oleh penduduk Jepak.

“Selalunya penduduk di Jepak menggunakan kemudahan feri ke pusat bandar Bintulu dan menuntut kos lebih perjalanan pada setiap hari terutamanya pergi kerja,” jelasnya.

Pada masa hadapan katanya, jambatan itu menjadikan tempoh perjalanan singkat dari bandar Bintulu terus ke kampung atau lapangan terbang justeru memudahkan perjalanan semua orang bukan hanya penduduk Jepak sahaja.

“Orang luar juga kerap bertanya kepada saya bila jambatan itu dibina, saya mengatakan akan dibina dan ternyata akhirnya pertanyaan itu terjawab apabila pembinaannya bermula pada tahun ini,” katanya.

Selain itu, Drahman melihat Bintulu kini menjadi tumpuan penduduk di Mukah serta kawasan penempatan pesisir membeli-belah dan pelbagai barangan memandangkan kini jalan raya pesisir dan jambatan menjadi penghubung paling dekat.

Seorang penduduk Jepak, Siti Zawiyah Mat, 37, menyifatkan projek dilaksanakan kerajaan Sarawak itu amat baik dalam usaha meningkatkan pembangunan di Sarawak terutamanya bandar Bintulu.

“Kemudahan Jambatan Kuala Kemena pastinya memudahkan penduduk terutamanya dari Kampung Jepak, Kampung Tani (Sungai Selezan/Semadang), Kuala Tatau untuk ke sekolah, tempat kerja dan sebagainya di bandar Bintulu di samping dapat menjimatkan masa dan kos perbelanjaan,” katanya.

Justeru, beliau berharap Kampung Jepak terus maju dan menjadi kampung contoh di antara kampung-kampung di Bintulu.

  • oleh
  • Advertisement