Anda di sini

Imbau kenangan, kekal tradisi bersama lebih 100 tetamu ‘Belanggar Mija’ di Kampung Masjid Balingian

Advertisement
 Harbi (kanan) dan Sameon(kiri) bersama tetamu lain yang mengunjungi khemahnya memotong kek sambutan raya.
MASIH BERAYA: Harbi (kanan) dan Sameon(kiri) bersama tetamu lain yang mengunjungi khemahnya memotong kek sambutan raya.
 Rombongan kaum wanita turut menyerikan majlis berlanggar meja dari khemah ke khemah.
WARNA-WARNI: Rombongan kaum wanita turut menyerikan majlis berlanggar meja dari khemah ke khemah.

BUKAN sahaja dapat mengimbau kenangan lalu bahkan mengekalkan tradisi dan hubungan silaturahim antara penduduk kampung antara pendekatan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang diketengahkan penduduk Kampung Masjid di daerah kecil Balingian pada Majlis ‘Belanggar`Mija’ pada penghujung Syawal, baru-baru ini.

Majlis berlanggar meja dalam erti kata lain adalah satu tradisi kunjung mengunjung ke rumah sanak saudara, penduduk sekampung sambil saling bermaafan serta pada masa sama menjamu pelbagai juadah makanan yang dihidangkan oleh tuan rumah.

Menyaksikan sambutan di Balingian, suasananya cukup meriah berikutan disertai oleh penduduk kampung yang begitu menyokong program dan idea yang diketengahkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung(JKKK) Kampung Masjid Balingian tersebut yang mana beberapa pemilik rumah terpilih telah mendirikan khemah berdekatan hadapan kediaman mereka.

Setiap khemah dihias cantik dengan lampu neon berwarna warni telah ‘dilanggar’ atau dikunjungi lebih 100 tetamu yang juga penduduk kampung pada malam itu yang mana bukan sekadar berkunjung bahkan dijamu pelbagai juadah makanan tradisi serta disaji dengan hiburan sampingan lagu-lagu raya.

Menyifatkan sebagai sambutan yang begitu bersejarah dan meriah buat pertama kalinya di daerah kecil itu meskipun telah memasuki penghujung Syawal, Ahli Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) Kaunnselor (Kr) Harbi Baker berkata, majlis yang julung kali dianjurkan JKKK Kampung Masjid Balingian itu bermula jam 8.30 malam dengan rombongan tetamu berarak dari Masjid Tuanku Haji Bujang Balingian ke khemah-khemah yang dihias cantik berwarna-warni dengan lampu neon.

“Rombongan diketuai oleh penghulu, ketua kaum, kaunselor dan orang ramai menuju ke khemah pertama milik Pak Yak dan Sorayah Mardi, seterusnya bergerak ke khemah kedua, ketiga, keempat sehinggalah ke khemah kelima yang terakhir,” ujarnya kepada Utusan Borneo selepas berakhir majlis itu.

Katanya, seramai lebih 100 tetamu ‘melanggar mija’ di khemah-khemah itu dengan dijamu menu makanan tradisional pelbagai dan suasana dilihat bertambah meriah dengan setiap khemah dihias cantik dengan lampu neon serta disajikan dengan hiburan sampingan.

“Majlis itu berakhir sepenuhnya pada jam 11 malam dengan rata-rata penduduk kampung memuji dan melahir rasa gembira serta berpuas hati dengan perjalanan lancar majlis itu.

“Ada penduduk berharap majlis itu dapat diperluas penganjurannya ke kampung-kampung lain di Balingian dan diadakan pada setiap tahun,” ujarnya.

Dalam pada itu setiap khemah lima peserta turut dipertandingkan dengan menyaksikan khemah Pak Yak dan Sorayah Mardi meraih johan, naib johan khemah Kaunselor Harbi Baker dan tempat ketiga disandang oleh khemah Kaunselor Sameon Yusuf.

Hadiah-hadiah kepada semua pemenang telah disampaikan oleh Harbi.

Dalam pada itu Sameon berkata, konsep ‘melanggar mija’ yang julung kali diadakan itu amat baik dan harus diteruskan memandangkan ia menampakkan suasana kemeriahan yang amat ketara semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas sokongan JKKK dan semua penduduk kampung Balingian,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Kamri Dairi pula turut melihat majlis seumpamanya yang diadakan telah mengimbau suasana sebenar kemeriahan sambutan hari raya terutama apabila melihat kehadiran tetamu yang begitu ramai berkunjung ke sesebuah khemah tuan rumah.

“Tahniah dengan semua penduduk yang terlibat secara langsung dan tidak langsung menjayakan program `melanggar mija’ yang julung kali diadakan oleh JKKK Kampung Masjid Balingian, sekali gus menempa sejarah yang membanggakan serta tidak akan dilupakan oleh penduduk kampung di Balingian,” katanya.

Kamariah Hj Lam pula berkata, keutamaan majlis itu adalah sambutan hari raya dan dalam kemeriahan itu saya sendiri merasa sebak dan pilu apabila mengenang kembali mereka(penduduk kampung)lain telah tiada(meninggal dunia)yang tidak berkesempatan bersama kita.

Begitupun katanya, saya melihat majlis ini mampu memupuk anak-anak muda kampung erti bekerjasama, bersaudara dan hidup bermuafakat.

Manakala bagi Kasmidah Baker pula memuji majlis itu sebagai berjalan lancar dan sambutannya amat meriah melihat kepada kerjasama semua pihak yang bersemangat untuk menjayakannya.

“Jamuan yang disediakan dari khemah ke khemah adalah berbagai-bagai masakan atau menu seperti ayam pansoh, daging lembu, sup tulang, rojak, sup telur, kuih tradisional dan sebagainya.

“Saya berharap majlis ini dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun mendatang. Syabas kepada semua yang terlibat dan pihak

penganjur,” katanya.

Senada dengan Kasmidah ialah Parali Apor yang juga mahu konsep ‘melanggar mija’ itu diteruskan supaya ia menjadi aktiviti tahunan dan satu teladan kepada anak-anak generasi baharu sekali gus sebagai pengikat silaturahim yang lebih erat antara sesama penduduk kampung.

Begitu juga dengan Juini Manai yang turut menyokong saranan penduduk kampung lain agar majlis itu dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

“InsyaAllah, kita menyokong dan akan meneruskan lagi majlis `belanggar mija’ ini pada masa hadapan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, kronologi majlis itu menepati sambuatan raya itu menyaksikan rombongan tetamu berpakaian baju melayu kebangsaan berkunjung ke setiap khemah disambut oleh tuan rumah dan pengunjung serta tuan rumah akan saling bermaafan sambil tuan rumah turut menyediakan jamuan makan, persembahan hiburan dan sebagainya.

Di setiap khemah termasuk menu utama disajikan oleh setiap rumah dalam kumpulan secara sedekah atau ‘pot luck’ bagi mengurangkan perbelanjaan.

Rombongan bergerak dari pekarangan Masjid Tuanku Haji Bujang (MTHB) ke khemah Pak Yak diikuti ke khemah Ketua Kaum (KK)Kampung Masjid Balingian Jahui Mohidin, khemah Sameon, khemah Penghulu Shahdan Sahari dan terakhir ke khemah Harbi.

  • oleh
  • Advertisement