Anda di sini

Eksekutif jualan mengaku salah pecah amanah

Advertisement
 Wong dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhkan hukuman semalam.
PECAH AMANAH: Wong dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen setelah dijatuhkan hukuman semalam.

SIBU: Seorang eksekutif jualan makanan tambahan dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas 16 pertuduhan pecah amanah membabitkan wang sebanyak RM8,000.

Wong Siew Chuan, 27, dijatuhkan hukuman itu setelah mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan dengan hukuman penjara antara satu tahun hingga dua tahun setengah bagi setiap pertuduhan.

Berasal dari Jalan Bleteh Kapit, Wong diperintah menjalani hukuman bagi 16 pertuduhan itu secara serentak.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah cawangan menjual makanan tambahan di Jalan Wong King Huo antara 10 September dan 11 Oktober 2018.

Tertuduh yang bekerja sebagai eksekutif jualan didakwa pecah amanah membabitkan wang yang dikutip daripada pelanggan berjumlah antara RM148.20 dan RM1,518.50.

Berdasarkan fakta kes, pada 19 September 2018, seorang pekerja telah memaklumkan kepada pengadu di Kuching yang tertuduh telah mengambil wang yang dibayar oleh pelanggan.

Perbuatan tertuduh itu dibuktikan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang ada di premis serta resit bayaran yang diberikan kepada pelanggan.

Pengadu kemudian cuba menghubungi tertuduh namun tidak dijawab dan tertuduh juga tidak datang kerja.

Pada 13 Mei 2019, kira-kira jam 11.30 pagi, sepasukan anggita polis yang diketuai oleh Inspektor Christy Sunyi telah menahan tertuduh di sebuah kedai di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Soal siasatan kemudian mendapati tertuduh menyalah guna wang syarikat bagi tujuan perjudian dalam talian.

Bagi pertuduhan itu, Wong didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.

Advertisement