Anda di sini

See nafi Ali masuk TERAS

Advertisement

KUCHING: Naib Pengerusi PKR Negeri See Chee How menafikan rakan seperjuangannya Ali Biju keluar parti dan menyertai Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS).

Menyifatkan khabar angin tersebut sebagai tidak benar, See yang juga ADUN Batu Lintang memberitahu beliau dan Ali kerap berhubung antara satu sama lain.

“Itu adalah tidak benar. Siapa kata Ali mahu menyertai TERAS? Beliau masih lagi PKR dan akan tetap bersama kami,” ujarnya kepada pemberita.

See berkata demikian ketika ditemui pada Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah di Jalan Astana di sini, semalam.

Ditanya mengapa Ali tidak turut serta pada kunjungan itu semalam, See berkata Ali yang merupakan ADUN Krian kini sibuk dengan aktiviti kunjungan Hari Raya di kawasannya dan sekitar Saratok.

“Beliau tidak dapat bersama dengan kami hari ini (semalam) kerana beliau sangat sibuk memenuhi jemputan rumah terbuka Aidilfitri di kawasannya ditambah dengan masalah air yang melanda kawasan Saratok ketika ini.

“Bagaimanapun, kami kerap menghubungi antara satu sama lain setiap hari untuk mendapatkan perkembangan terkini mengenai krisis air di kawasannya ketika ini,” katanya.

Dalam pada itu pada 15 Mei 2014 lepas, seramai 10 wakil rakyat BN dari SPDP dan SUPP telah mengumumkan keluar parti dan menyertai TERAS.

Turut menyertai kumpulan tersebut pada ketika itu ialah ADUN Pelagus dari SWP George Lagong.

Malah, kumpulan tersebut turut mengalu-alukan penyertaan wakil rakyat dari PKR untuk menyertai mereka dengan salah seorang daripadanya ialah Ali.

Namun Pengerusi PKR Negeri Baru Bian pada keesokan harinya membuat kenyataan bahawa tiada seorang pun daripada wakil rakyat mereka yang akan menyertai TERAS termasuk Ali, beliau sendiri mahupun See.

PKR mempunyai tiga orang ADUN, Baru (Ba’ Kelalan), Ali (Krian) dan See (Batu Lintang) dan seorang Ahli Parlimen (Miri) Dr Michael Teo.

Advertisement