Anda di sini

Permintaan sarung tangan getah global cecah 300 bilion

Advertisement

KUALA LUMPUR: Permintaan sarung tangan getah di peringkat global dijangka mencecah 300 bilion tahun ini dengan anggaran pertumbuhan tahunan sebanyak 12 peratus, menurut Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA).

Daripada jumlah tersebut, 188 bilion sarung tangan akan dihasilkan di Malaysia selaku pengeluar utama dunia dan peneraju eksport sarung tangan sekali gus menyumbang 63 peratus bekalan global, diikuti Thailand (18 peratus), China (10 peratus) dan Indonesia (3.0 peratus).

 Kenyataan itu dipetik oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), agensi kerajaan yang memantau dan memacu pelaburan terhadap sektor pembuatan dan perkhidmatan daripada e-buletin MARGMA keluaran Mac 2019.

e-buletin itu merupakan kemaskini MIDA mengenai industri itu di peringkat bulanan untuk pelabur global.

Sementara itu, MIDA mengunjurkan perolehan eksport sarung tangan getah akan mencecah RM19.88 bilion tahun ini, meningkat berbanding RM18.8 bilion diunjurkan penggiat industri pada 2018.

“Sarung tangan getah buatan Malaysia dijangka dieksport kepada lebih 195 negara di seluruh dunia pada 2019,” katanya.

Secara keseluruhan, MIDA berkata pasaran global industri sarung tangan getah perubatan menunjukkan aliran positif, didorong oleh peningkatan tahap penjagaan kesihatan serta populasi golongan warga tua.

Bagaimanapun, memandangkan industri (sarung tangan perubatan) yang semakin kompetitif, pengeluar sarung tangan getah meningkatkan pelaburan dalam bidang automasi sebagai antara langkah mengurangkan peningkatan kos buruh dan meningkatkan keberkesanan pengeluaran, katanya.

Sehubungan itu, MIDA akan terus menggalakkan penyedia teknologi Industri 4.0 global dan penyedia penyelesaian industri automasi untuk menjalin kerjasama dengan pengeluar sarung tangan getah perubatan.

Antara pengeluar terlibat ialah Top Glove Corporation Bhd, pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia yang berusaha mengembangkan dan meneruskan pendigitalan operasinya secara agresif.

Ketika ini syarikat tersebut memberi tumpuan ke arah automasi barisan pengeluaran dan meningkatkan keberkesanan menggunakan data untuk memacu automasi syarikat.

Sementara itu, pengeluar sarung tangan nitril terbesar dunia, Hartalega Holdings Bhd melabur lebih RM14 juta untuk menaik taraf sistem perancangan sumber syarikat sebagai antara komitmen mereka ke arah merealisasikan Industri 4.0. — Bernama

Advertisement