Anda di sini

Ia adalah ‘gila’ jika UEFA menggantung Ronaldo, tegas Federico Bernardeschi

Advertisement
 Ronaldo (kanan) meraikan gol jaringannya ketika membantu Juve menewaskan Atletico Madrid pada aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Allianz, Turin pada 12 Mac lepas. — Gambar AFP
RAI GAYA TERSENDIRI: Ronaldo (kanan) meraikan gol jaringannya ketika membantu Juve menewaskan Atletico Madrid pada aksi peringkat 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadium Allianz, Turin pada 12 Mac lepas. — Gambar AFP

MILAN, Itali: Rakan sepasukan Cristiano Ronaldo di Juventus, Federico Bernardeschi, berkata Selasa lepas di mana ia adalah “gila” jika badan induk bola sepak Eropah (UEFA) menggantung penyerang antarabangsa Portugal itu kerana gaya kontroversi meraikan gol.

Ronaldo berdepan pertuduhan UEFA kerana “tingkah laku tidak sesuai” selepas meniru gaya ‘cojones’ jurulatih Atletico, Diego Simeone meraikan gol, selepas menjaringkan hatrik untuk membantu Juventus bangkit untuk menang 3-2 secara agregat pada perlawanan pusingan kedua itu.

“Ia sesuatu yang saya fikir tidak perlu dilihat, penggantungan pastinya gila,” kata Bernardeschi ketika memberitahu satu sidang media menjelang perlawanan kelayakan Euro 2020 buat Itali.

“Saya fikir ia berakhir di situ, ia satu cara meraikan gol. Saya melihat beliau tenang sahaja, seperti juga kami. Saya pasti semuanya OK.”

Bernadeschi percaya Itali boleh belajar dari Juventus, yang bangkit dari ketinggalan 0-2 dari perlawanan pertama dan akan menentang Ajax Amsterdam di suku akhir.

“Kami mencipta sejarah,” kata pemain berusia 25 tahun itu.

“Cristiano sememangnya seorang juara. Beliau memberikan begitu banyak kepada kami, beliau memiliki karisma seorang juara. Berada bersama beliau setiap hari membolehkan anda belajar banyak perkara.”

Itali memulakan kempen kelayakan Euro 2020 menentang Finland di Udine Sabtu ini, diikuti perlawanan menentang Liechtenstein di Parma pada 26 Mac.

“Itali sudah menunjukkan peningkatan yang baik dalam kejohanan Liga Negara UEFA,” tambah Bernardeschi.

“Kami masih kekurangan sedikit pengalaman kerana usia muda tetapi kami berada di landasan yang betul untuk beraksi dengan cara yang terbaik.”

Beliau menambah: “Saya berharap untuk menjadi salah satu simbol pasukan ini sama seperti (Paolo) Rossi dan (Roberto) Baggio.”

Itali – juara dunia empat kali – membina semula pasukan selepas gagal layak ke Piala Dunia 2018 dan akan memburu kejuaraan Euro yang kedua selepas 1968. — AFP

Advertisement