Anda di sini

Momentum pelaburan dan perdagangan Sarawak-China dapat dipertingkat, dirangsang

Advertisement

KUCHING: Persatuan Persahabatan China Sarawak percaya momentum pelaburan dan perdagangan antara Sarawak dan China dapat dipertingkat dan dirangsangkan lagi dengan lebih jauh.

Sehubungan itu, persatuan menurut Pengerusinya Datuk Wee Kok Tiong akan terus mewujudkan lebih banyak peluang kepada pelabur China untuk merungkai potensi-potensi pasaran Sarawak.

“Kita perlu mempunyai lebih banyak pelan induk dan strategi yang lebih teratur agar potensi-potensi ekonomi tidak terlepas.

“Atas sebab itu, saya ingin mencadangkan penubuhan Majlis Pelaburan dan Perdagangan Bersama antara kerajaan Sarawak dan China.

“Majlis ini akan memainkan peranan dalam pengukuhan serta pertukaran maklumat pelaburan dan perniagaan termasuk bertindak sebagai badan penyelaras dalam mengemukakan hal perdagangan dan cabaran yang dihadapi oleh pelabur Sarawak dan China,” ujar Wee.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Memperingati Ulang Tahun Ke-40 Tahun Hubungan Diplomatik Antara Malaysia dan China dan Ulang Tahun Ke-20 Konsulat Jeneral China di Kuching.

Tambah Wee, dengan adanya hubungan kukuh antara pemimpin Malaysia dan China, beliau percaya terdapat beberapa aspek lagi yang dapat diperkukuhkan lebih jauh antara kedua-dua negara.

Antaranya menurut Wee, kerjasama dalam sains dan teknologi, pendidikan tinggi, latihan kemahiran dan sektor pelancongan.

“Ketika lawatan rasmi Presiden China Xi Jingping ke Malaysia tahun lepas, beliau memberitahu  bahawa kedua-dua negara mengiktiraf kepentingan mewujudkan kerjasama strategik komprehensif dalam mempromosikan keamanan dan kestabilan.

“Pada masa yang sama menjana suasana geopolitikal yang konstruktif dan positif demi pembangunan wilayah yang mapan.

“Kenyataan ini menunjukkan gambaran sebenar hubungan kukuh antara kedua-dua negara dan saya percaya kerjasama ini akan membawa pencapaian yang lebih besar dalam masa terdekat,” ujar Wee.

Advertisement