Anda di sini

Penganggur didakwa bunuh bekas calon AMK cabang Shah Alam

Advertisement
 M D Ozziram dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, di atas tuduhan membunuh M. Thiyahu pada 7 Januari lepas di Shah Alam. — Gambar Bernama
TERTUDUH: M D Ozziram dihadapkan ke Mahkamah Majistret, semalam, di atas tuduhan membunuh M. Thiyahu pada 7 Januari lepas di Shah Alam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang bekas calon Anggota Jawatankuasa Angkatan Muda Keadilan (AMK) cabang Shah Alam pada 7 Jan lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, M. D Ozziram, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sabreena Bakar@Bahari.

Mengikut pertuduhan, Ozziram bersama-sama tiga lagi suspek yang masih bebas didakwa membunuh M. Thiyahu, 30, di bawah blok 53, Flat Nilam Sari, Jalan Plumbum 7/100A, Seksyen 7 di sini, antara 5 hingga 5.30 petang pada 7 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 28 Feb untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Selangor, Amira Haziqah Zulkifli sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Media sebelum ini melaporkan Thiyahu diserang tiga lelaki bersenjatakan parang yang menaiki sebuah kereta jenis Proton Waja menyebabkannya mengalami kecederaan parah di beberapa bahagian badan dan meninggal dunia kira-kira jam 6.30 petang, hari yang sama. — Bernama

Advertisement