Anda di sini

Lima peserta rebut RM500 ribu di pentas akhir MLM 2018 malam ini

Advertisement
BOCEY
BOCEY

SETELAH berentap selama 11 minggu dengan menyahut 13 cabaran persembahan lawak pelbagai tema dan melepasi lapan sesi penyingkiran, malam ini adalah penentu siapa di antara lima peserta Maharaja Lawak Mega 2018 (MLM 2018) yang akan dinobatkan sebagai juara pada musim ini.

Peserta akhir MLM 2018 terdiri daripada kumpulan Bocey, Zero, Shiro, Puteh dan Taman.

Untuk rekod, Bocey telah dua kali dinobatkan selaku juara Maharaja Lawak Mega iaitu pada tahun 2016 dan 2017, manakala Zero pula merupakan juara pada edisi 2014.

SHIRO
SHIRO

Kumpulan Shiro yang cukup sinonim dengan persembahan lawak yang diselit pengajaran ialah naib juara MLM 2017.

Puteh pula pernah menduduki tempat ketiga pada MLM 2016 dan tempat kelima pada MLM 2017.

Kumpulan baharu pada musim ini iaitu Taman yang menyaksikan gandingan dua pelawak berpengalaman, Tauke dan Man, merupakan antara peserta yang berjaya mempamerkan persembahan cemerlang setiap minggu.

Ternyata, barisan finalis pada musim ini bukan calang-calang.

Persoalannya, siapakah di antara mereka berlima yang akan menjulang trofi juara Maharaja Lawak Mega 2018 dan membawa pulang wang kemenangan bernilai RM500,000?

ZERO
ZERO

Semuanya bergantung pada persembahan mereka yang bertemakan ‘Muzikal’ dan ‘Bebas’.

Mampukah mereka memikat hati barisan juri; Douglas Lim, Remy Ishak, Scha Alyahya dan Tya Arifin serta peminat menerusi dua persembahan terakhir mereka di pentas MLM 2018 malam ini?

Untuk menghangatkan lagi kemeriahan minggu akhir MLM 2018, Astro Warna bakal menganjurkan Karnival Lawak Mega yang akan berlangsung bermula jam 10.30 pagi hingga 11.00 malam, pada hari ini (18 Januari) di Royal Teater, Shah Alam.

Pelbagai aktiviti menarik menanti pengunjung seperti beramah mesra bersama pelawak popular, finalis MLM 2018 dan pelakon drama popular. Selain itu, terdapat juga pertunjukkan silap mata, badut jalanan, foodtruck serta pelbagai hadiah menarik untuk dimenangi. Masuk adalah percuma.

Konsert Maharaja Lawak Mega 2018 (Minggu Akhir) bersiaran secara langsung dari Royal Teater Shah Alam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124) pada jam 9 malam ini (Jumaat).

Untuk pilihan alternatif, program realiti pertandingan komedi ini turut boleh ditonton menerusi platform digital Astro Go dan On Demand.

Advertisement