Anda di sini

Model penanaman semula hutan Finland dikaji

Advertisement
Abang Johari (dua kanan) bersama Huang (tengah), Dr Annuar dan tetamu jemputan memotong reben sebagai simbolik perasmian.

SIBU: Sarawak sedang mengkaji model penanaman semula hutan yang digunakan di Finland untuk pengurusan hutan lestari di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mencapai kelestarian adalah penting untuk memberi keyakinan pasaran terhadap industri perkayuan negeri yang mesra alam.

"Kami sedang mengkaji model di Finland, negara yang terbaik dalam penanaman semula hutan tetapi cuaca tidak memberi kelebihan untuk industri perkayuan di negara itu.

"Ia mengambil masa kira-kira 70 tahun untuk pokok mencapai tempoh matang berbanding di sini yang mengambil masa kira-kira enam tahun untuk dituai," katanya ketika merasmikan Bangunan Korporat M.M Golden (M) Sdn Bhd di Jalan Deshon di sini hari ini.

Abang Johari (lima kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Korporat M.M Golden (M) Sdn Bhd.
Abang Johari (lima kiri) menyempurnakan Majlis Perasmian Bangunan Korporat M.M Golden (M) Sdn Bhd.

Abang Johari berkata beliau turut memberi penekanan terhadap penanaman semula dimana ia perlu dilakukan selepas setiap pokok ditebang demi kelestarian mampan. 

"Kelestarian hutan penting dengan kawasan yang ditebang mesti ditanam semula agar pokok-pokok bertumbuh. 

"Ini akan memberikan isyarat kepada pasaran yang kita mengambil perhatian terhadap alam sekitar," jelasnya 

Abang Johari turut memberi jaminan akan meneruskan dasar mantan Ketua Menteri Allahyarham Pehin Sri Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) untuk tiada ladang kelapa sawit di tanah kerajaan tetapi membenarkan kegiatan di tanah adat Bumiputera (NCR).

"Kerja perlu mempelbagaikan dasar perladangan negara kerana tidak boleh bergantung kepada kelapa sawit semata-mata. 

"Jika harga minyak sawit turun dan harga perkayuan naik, sekurang-kurangnya kita dapat mengimbangi bagaimana kita memanfaatkan sumber daya kita," katanya.

Hadir sama ialah Pengarah Urusan M.M Golden (M) Sdn Bhd Datuk Seri Huang Tiong Sii, Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa'ee, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King, Residen Sibu Charles Siaw dan Temenggung Dato Vincent Lau Lee Ming.
 

  • oleh
  • Advertisement