Anda di sini

Perintah Berkurung 103 mula berkuat kuasa 12 Disember

Advertisement

KOTA KINABALU: Perintah Berkurung baharu nombor 103 mula berkuat kuasa selama 24 jam bermula jam 6 petang 12 Disember 2018.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata, perintah berkenaan dilanjutkan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Polis 1967.

Katanya, Perintah Berkurung itu akan dilanjutkan oleh Menteri Dalam Negeri selama 14 hari bermula 13 Disember hingga 27 Disember 2018 jam 6 petang mengikut Seksyen 31 (4) Akta Polis 1967.

"Dengan berkuatkuasanya Perintah Berkurung ini orang ramai yang tinggal di kawasan berkenaan dikehendaki berada di dalam rumah.

"Orang lain juga tidak dibenarkan memasuki atau berada di kawasan yang disytiharkan dari jam 6 petang sehingga 6 pagi pada tarikh yang dinyatakan.
   
"Perintah Berkurung ini juga meliputi kawasan yang sama dengan Perintah Berkurung nombor 102," jelasnya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata kawasan terbabit termasuklah perairan daerah Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran. 

Omar berkata, keperluan untuk meneruskan Perintah Berkurung bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak dicerobohi oleh pengganas.

Selain itu katanya, ia bagi menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan yang berada di daratan kawasan Zon Selamat Pantai Timur Sabah (Esszone). 

"Arahan ini juga bagi memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap  pergerakan bot  serta menimbulkan rasa selamat dan yakin kepada  pengusaha chalet dan aktiviti-aktiviti perikanan.

"Saya juga memberi kuasa  kepada semua Ketua Polis Daerah (KPD) Esszone untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon aktiviti perikanan atau laluan yang mendesak," katanya.
 

Advertisement