Anda di sini

Bina rumah mampu milik berkualiti 

Advertisement
JAUJAN (empat dari kanan), Sariah (empat dari kiri), Rosmen (tiga dari kiri) dan Roland (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima anugerah CIDB.
JAUJAN (empat dari kanan), Sariah (empat dari kiri), Rosmen (tiga dari kiri) dan Roland (tiga dari kanan) merakamkan gambar kenangan bersama para penerima anugerah CIDB.

KOTA KINABALU: Pihak pemaju perumahan di Sabah yang berminat menyediakan rumah mampu milik disarankan membina unit itu dengan keadaan kondusif serta berkualiti. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata, walaupun istilah yang digunakan adalah rumah mampu milik tetapi konsep pembinaan tidak seharusnya sekadar berbentuk 'kotak' sahaja. 

"Rumah yang dibina haruslah kondusif dan selesa kepada rakyat...saya selalu ingatkan pemaju yang datang berjumpa dengan saya, sekiranya mereka ingin membina rumah mampu milik, rumah itu haruslah selesa dari semua sudut. 

"Saya sarankan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menggunakan teknologi yang sedia ada untuk membina rumah mampu milik yang berkualiti dan selesa.

"Sekiranya rumah itu tidak selesa, maka kita tidak mencapai hasrat rakyat negara ini untuk memiliki sebuah rumah yang diinginkan," katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Penghargaan Bersama Penggiat Industri Pembinaan, di sini, malam Isnin. 

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, pihaknya sentiasa bergerak serasi dengan hala tuju Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di peringkat persekutuan dalam soal pembinaan rumah mampu milik. 

Walaupun keadaan ekonomi kini dilihat tidak 'sihat', beliau yakin dengan kepimpinan utama kerajaan Pusat dan negeri mempunyai pendekatan terbaik perancangan pembangunan, khususnya di Sabah dari segi pembinaan rumah.

"Dengan adanya kerjasama penggunaan teknologi khususnya dari CIDB, sudah pasti kita mampu mengurangkan harga rumah bagi memenuhi permintaan rakyat.

"Dalam tempoh lima tahun akan datang, Sabah dijangkakan memerlukan sejumlah 30,000 unit rumah mampu milik," katanya. 

Jaujan berkata, tidak dinafikan selama 60 tahun pemerintaan kerajaan dahulu telah membawa perubahan dalam negara, tetapi sekiranya masalah rakyat tidak diberi perhatian seperti penempatan, pengangguran, peluang pekerjaan dan sebagainya, ia akan menyebabkan segala jasa yang disumbangkan itu tidak diendahkan oleh rakyat. 

Katanya, keadaan itu kini menjadi antara cabaran kerajaan baharu hari ini, bukan sahaja di peringkat negeri tetapi juga Malaysia secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Jaujan menjelaskan kerajaan negeri berharap mampu bersama-sama CIDB untuk terus membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti serta produktiviti dengan memberikan penekanan kepada profesionalisme, inovasi selain pengetahuan ke arah kehidupan lebih berkualiti. 

"Semoga CIDB mampu merangsang pembinaan lebih banyak rumah untuk rakyat dengan adanya teknologi sedia ada dan yang baharu pada masa hadapan, sejajar dengan kepesatan kemajuan pembinaan lebih baik serta setanding dengan negara maju di dunia," katanya. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengurus Besar Kanan Sektor Dasar dan Korporat CIDB Malaysia Sr Sariah Abd Karib, Pengarah CIDB Sabah Rosmen Hassan dan Pegawai Khas Menteri Kerja Raya Dr Roland Chia.

  • oleh
  • Advertisement