Anda di sini

Akauntan kerajaan perlu mahir teknologi: KS Perbendaharaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Akauntan kerajaan perlu mahir dengan teknologi terutamanya dalam automasi dan kecerdasan buatan (AI), blockchain, pengkomputeran awan dan keselamatan siber serta analisis data (ABCD), ketika Malaysia beralih kepada ekonomi digital dan syarikat-syarikat mula menerima pakai Revolusi Perindustrian 4.0 (Industri 4.0).

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir berkata pembinaan kecekapan adalah kritikal kerana peralihan kepada perakaunan akruan dan meningkatkan pengurusan kewangan sektor awam, memerlukan latihan berteraskan kemahiran bagi akauntan profesional dan definisi yang lebih jelas tentang peranan dan kemahiran mereka menerusi pelan hala tuju kecekapan.  

“Ketika negara beralih ke arah ekonomi yang dipacu oleh teknologi, automasi dan inovasi, akauntan sektor awam seperti kerjaya lain, akan memerlukan kemahiran pemikiran yang lebih tinggi bagi melengkapkan mereka dengan peranan bukan rutin dan bernilai tinggi.

“Ia amat relevan kepada akauntan kerana mereka akan dapat memantapkan lagi kemahiran mereka dalam membuat keputusan, analisis dan menyelesaikan masalah dan komunikasi, disokong oleh integriti tanpa kompromi dan keraguan yang sihat,” katanya dalam ucap tama beliau pada Persidangan Pengurusan Kewangan Sektor Awam 2018, di sini, semalam.

Ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pengurusan) Datuk Othman Semail.

Ahmad Badri berkata Institut Akauntan Malaysia (MIA) memainkan peranan yang lebih besar dalam membangunkan tenaga kerja untuk memupuk kemahiran baharu ini.  

Ia termasuk menjalin pelbagai kerjasama dan perjanjian dengan beberapa badan profesional untuk membolehkan anggota sektor awam mendapat kelayakan perakaunan profesional serta bekerjasama dalam usaha untuk terus memajukan pengurusan kewangan sektor awam.

Beliau juga berkata kerajaan memuji usaha MIA untuk menganjurkan banyak persidangan meja bulat pengurusan kewangan awam (PFM) dengan entiti sektor awam, seperti badan berkanun persekutuan dan institusi pengajian tinggi awam.

“Persidangan meja bulat ini menghasilkan cadangan keperluan kecekapan bagi ketua-ketua fungsi kewangan, yang dikemukakan kepada kerajaan.

“Kita mengalu-alukan cadangan kecekapan ini yang akan membantu memacu peralihan akauntan sektor awam daripada hanya semata-mata berfungsi sebagai penjaga rekod kepada rakan kongsi perniagaan disegani,” katanya.

Menurut Ahmad Badri, dengan kerajaan meneruskan inisiatif perakaunan akruan, MIA akan menyediakan nasihat dan kepakaran teknikal berkaitan standard, menerusi kakitangan teknikalnya dan perundingan, dengan Jawatankuasa Perakaunan Sektor Awam.  

Beliau berkata penglibatan MIA dalam sektor awam diperluaskan dengan termasuk menjalankan penyelidikan bagi projek semasa Lembaga Standard Perakaunan Sektor Awam Antarabangsa (IPSASB), mengenal pasti isu-isu berkaitan perakaunan sektor awam di Malaysia, menyediakan latihan dan kesedaran.

Persidangan dua hari itu yang bertemakan, ‘Mendukung Amanah dan Pertanggungjawaban’ dianjurkan oleh MIA dan menumpukan kepada pembangunan terkini dalam pengurusan kewangan sektor awam, menggabungkan kedua-dua kandungan global dan tempatan. — Bernama

Advertisement