Anda di sini

Lelaki bebas tuduhan simpan harta curi

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki mampu tersenyum apabila dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan menyimpan harta curi. 

Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Mohd Nazwan Nordin, 29, selepas membenarkan rayuan atas sabitan dan hukuman mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan. 

Pada 13 September, Mahkamah Majistret mengenakan penjara 16 bulan terhadap perayu selepas mengaku salah. 

Mengikut pertuduhan, perayu menyimpan sebuah televisyen disyaki harta curi milik seorang lelaki berusia 23 tahun, pada 31 Januari jam 1 pagi di sebuah rumah, Kampung Melalin, daerah Tuaran. 

Sabit salah boleh dikenakan penjara selama tempoh lima tahun atau denda, atau kedua-duanya. 

Terdahulu, peguam Goldam Hamid memohon agar hukuman dan sabitan terhadap anak guamnya diketepikan. 

"Subjek utama dalam kesalahan ini sebuah televisyen, tetapi tiada bukti yang menunjukkan televisyen terbabit adalah harta curi. 

"Pertuduhan menyatakan tempat kesalahan dilakukan di Kampung Melalin, namun rumah perayu di Kampung Mengabung, dua kampung yang berbeza di daerah Tuaran," katanya. 

Menurutnya perayu seorang buta huruf, semasa prosiding di mahkamah rendah sekiranya hakim perbicaraan mengetahui tentang fakta itu, beliau akan menolak pengakuan salah perayu. 

Tambahnya tiada bukti didalam rekod yang menunjukkan televisyen berkenaan adalah harta curi. 

Timbalan Pendakwaraya Nartiah bertindak untuk pendakwaan. 

-tamat. 


 

  • oleh
  • Advertisement