Anda di sini

Lelaki didakwa terlibat aktiviti pembiayaan keganasan

Advertisement
SALAHUDDIN (tengah) diiringi dua anggota polis.
SALAHUDDIN (tengah) diiringi dua anggota polis.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan terbabit dalam aktiviti pembiayaan keganasan dan memiliki item berunsurkan perbuataan pengganas.

Salahuddin Abd Latif, 40, berhadapan empat pertuduhan dan tiga daripadanya membiayai perbuataan pengganas pada 2016, sementara satu lagi memiliki item berunsurkan perbuataan pengganas.

Namun selepas semua pertuduhan berkenaan dibacakan tiada pengakuan diambil daripada tertuduh.

Pertama, tertuduh didakwa memasukkan wang RM300 ke dalam akaun Maybank yang didaftarkan atas nama Syarikat Multi Point Trading milik Mohd Firdaus Asren

Saputra BMS Asren, 35, dipercayai akan digunakan sebahagian atau keseluruhannya dalam melaksanakan perbuataan pengganas.

Kesalahan dilakukan di Lot 106, Lorong Mawar 15, Taman Mawar Fasa 1, Jalan Spur Kinarut, Papar, pada 1 April 2016.

Kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan sebanyak RM300, di tempat sama pada 18 Mei 2016.

Ketiga, tertuduh sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama melibatkan wang RM1,000 di tempat sama, pada 4 Julai 2016.

Semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut  Seksyen 130N Kanun Keseksaan dihukum mengikut Seksyen 130N(b) Kanun Keseksaan,  memperuntukkan penjara tidak kurang tujuh tahun dan tidak melebihi 30 tahun, dan boleh didenda dan bolehlah juga dirampas apa-apa harta yang diberikan.

 Keempat, tertuduh didakwa memiliki item-item berunsurkan perbuatan pengganas dan berkaitan dengan kumpulan pengganas Islamic State (IS).

Jika sabit salah mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan boleh dikenakan penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan boleh dilucuthak mana-mana item berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad dan Mohd Khairuddin Idris mewakili pihak pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan sebutan semula kes pada 14 Disember terhadap tertuduh yang diperintahkan terus direman.

  • oleh
  • Advertisement