Anda di sini

RM5 juta untuk bantu usahawan belia Sarawak

Advertisement
Abang Johari diiringi Kurator TEDxKenyalang Zaiwin Kassim (kiri) semasa tiba  untuk menyempurnakan Program 'Outreach The World'  TEDxKenyalang 2018 di Bangunan DUN lama, hari ini.

KUCHING: Kerajaan negeri hari ini meluluskan RM5 juta bagi membantu golongan usahawan belia sebagai dana teroka yang bermula pada tahun 2019.

Ketika mengumumkan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, peruntukan berkenaan akan disalurkan kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan sebagai bantuan kepada usahawan belia yang baharu berkecimpung dalam dunia perniagaan.

Katanya, beliau juga telah berbincang dengan Menterinya, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah untuk melatih usahawan belia yang baharu.

"Hari ini saya meluluskan RM5 juta kepada Kementerian bagi usahawan belia kita sebagai modal teroka kepada mereka," katanya berucap merasmikan Program 'Outreach The World' TEDxKenyalang 2018 yang turut dihadiri Abdul Karim di Bangunan DUN lama di sini.

Tambah Abang Johari, dana teroka itu mungkin bergantung kepada cadangan permohonan daripada usahawan belia yang terlibat.

"Ia mungkin RM20,000, RM50,000 atau RM100,000 dan bergantung kepada cadangan anda.

"Ia kemudian akan dinilai oleh TEDxKenyalang, yang mana akan melatih usahawan belia," katanya sambil memberitahu dana berkenaan akan dilaksanakan mulai Januari tahun hadapan.

Menurut Abang Johari, beliau ingin berkongsi hasil sumber minyak dan gasnya kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan belia.

"Ia susulan saya mengumumkan pelaksanaan cukai jualan bagi produk petroleum sebanyak lima peratus berkuat kuasa pada 1 Januari 2019," tegasnya.
 

  • oleh
  • Advertisement